Raih untung daripada iklan penipuan, MCMC akan panggil Meta beri penjelasan rasmi

MCMC akan memanggil syarikat Meta untuk memberi penjelasan rasmi susulan pendedahan agensi berita Reuters bahawa syarikat itu meraih keuntungan daripada iklan berkaitan penipuan dan perjudian dalam talian.
MCMC akan memanggil syarikat Meta untuk memberi penjelasan rasmi susulan pendedahan agensi berita Reuters bahawa syarikat itu meraih keuntungan daripada iklan berkaitan penipuan dan perjudian dalam talian.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memanggil syarikat Meta untuk memberi penjelasan rasmi susulan pendedahan agensi berita Reuters bahawa syarikat itu meraih keuntungan daripada iklan berkaitan penipuan dan perjudian dalam talian.

Menurut kenyataan MCMC pada Sabtu, pihaknya memandang serius laporan berkenaan yang disifatkan sebagai isu pelanggaran kepercayaan awam dan undang-undang negara sekiranya terbukti benar.

"MCMC berkongsi kebimbangan yang disuarakan oleh Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, dan akan memulakan siasatan terhadap perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Suruhanjaya itu turut mendedahkan bahawa bagi tempoh 1 Januari hingga 4 November 2025, sebanyak 157,208 permintaan penurunan kandungan iklan aktiviti menyalahi undang-undang dan 44,922 permintaan berkaitan iklan penipuan telah dikemukakan kepada Meta dan ia jumlah tertinggi berbanding platform lain.

Bagi tempoh sama, MCMC hanya mengemukakan 3,956 permintaan kepada TikTok, 269 (Telegram), 11 (X) dan 45,448 (YouTube) untuk isu sama.

"MCMC telah menasihati Meta supaya mengambil langkah lebih proaktif membanteras penipuan dan perjudian dalam talian kerana tindakan sedia ada masih belum mencukupi,” menurut suruhanjaya itu.

Semua platform media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet perlu dilesenkan secara sah serta membuktikan keberkesanan sistem mereka dalam mencegah aktiviti haram.

"Sekiranya terdapat bukti bahawa mana-mana platform bersubahat atau membantu aktiviti menyalahi undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan undang-undang negara,” menurut MCMC. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • MCMC akan memanggil syarikat Meta untuk memberi penjelasan rasmi berkaitan keuntungan dari iklan penipuan dan perjudian
  • MCMC menganggap ini sebagai isu pelanggaran kepercayaan awam dan akan memulai siasatan
  • Sebanyak 157,208 permintaan penurunan kandungan iklan menyalahi undang-undang telah dikemukakan kepada Meta
  • MCMC menasihati Meta untuk mengambil langkah lebih proaktif membanteras penipuan dan perjudian dalam talian
  • Sekiranya terbukti bersubahat dalam aktiviti haram, tindakan sewajarnya akan diambil selaras dengan undang-undang negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!