UiTM, MINDEF pencetus WBL 2.0, iktiraf pengalaman ATM sebagai akreditasi akademik

SHAH ALAM-Universiti Teknologi MARA (UiTM) melalui Institusi Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) secara rasminya memperkenalkan Work-Based Learning 2.0 (WBL 2.0).
Program UiTM-Mindef, WBL 2.0 merupakan inisiatif strategik bagi memberi peluang kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menukar pengalaman kerja sebenar kepada pengajian diploma yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), seumpama konsep ‘dari kem ke kampus’.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, pelaksanaan WBL 2.0 mencerminkan komitmen universiti itu dalam memperluas akses pendidikan tinggi di samping memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak agar mampu melahirkan warga pertahanan yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing untuk masa depan negara.

Bukan itu sahaja, menurut beliau, program itu dibangunkan untuk membantu anggota ATM tanpa mengira usia atau pangkat meningkatkan kelayakan akademik tanpa meninggalkan perkhidmatan selain menyediakan peluang kedua buat mereka yang bakal bersara awal.
“Inilah kaedah baharu yang kami perkenalkan daripada UiTM. Berdasarkan pengalaman saya, tumpuan universiti selalunya kepada pihak industri. Tetapi, fokus kali ini untuk memperkasa golongan profesional dan usahawan bumiputera.
“Dalam pendekatan kami, usaha ini berpotensi memperkasakan mereka yang berada dalam ATM. Walaupun anggota berkemahiran dilatih dari sudut teknikal dan taktikal dalam bidang tertentu, ada antaranya tidak diiktiraf masyarakat selepas tamat perkhidmatan.
“Insya-ALLAH dalam tempoh tiga tahun pengajian, anggota akan memperoleh diploma walaupun tidak melangkah masuk ke bilik kuliah di UiTM secara bersemuka dan graduasi bersama lebih 200,000 mahasiswa lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian UiTM-Mindef WBL 2.0 yang diadakan di Anjung Seri Budiman UiTM Shah Alam, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Omar Shariff Mydeen. Pengarah Pengurusan Sumber Manusia Markas ATM, Kolonel Fadzlie Rizal Ishak. Ketua Pegawai Eksekutif iCEPS UiTM, Profesor Dr Faizah Abd Majid, barisan pegawai dan anggota lain-lain pangkat (LLP) ATM.
Sebanyak lima program bertaraf diploma ditawarkan untuk kohort pertama iaitu Pendidikan Islam, Pengajian Sukan, Pengurusan Hotel, Pengurusan dan Teknologi Pejabat serta Seni Kulinari.
WBL 2.0 juga menerima sokongan penuh daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi menggalakkan penyertaan anggota ATM lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mengikuti pengajian di peringkat tertiari.
Difahamkan jumlah pelajar berdaftar di bawah iCEPS UiTM setakat ini seramai 14,050 orang termasuk anggota ATM yang baharu mendaftar masuk melalui program WBL 2.0.
Menerusi majlis perasmian itu, seramai 15 anggota ATM menerima surat tawaran program WBL 2.0 yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Mindef, Datin Roszanina Wahab.
Peruntukan RM1.5 juta

Sementara itu, Roszanina turut memaklumkan, program tersebut diberi masa selama tiga bulan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk direalisasikan dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.
Tambah beliau, UiTM merupakan pencetus bagi pembangunan modul WBA 2.0 dan berharap ia boleh dijadikan rujukan atau model nasional buat institusi pengajian tinggi awam serta swasta yang ingin menubuhkan program serupa pada masa akan datang.
“Seperti yang semua sedia maklum, WBL 2.0 ini inspirasi dan buah fikiran menteri pertahanan sendiri. Aspirasi dan wawasannya diharap mampu menjadi anjakan paradigma dalam peningkatan taraf kehidupan serta akademik selain menjamin kebajikan anggota ATM selepas bersara.
“Menerusi program ini juga, setiap pengalaman dan gerak kerja yang dilaksanakan selama beberapa dekad dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai nilai tambah serta pemangkin kerjaya kedua nanti.
“Bukan mudah untuk kita mencipta sejarah yang belum pernah dirintis sesiapa sebelum ini. UiTM dan Mindef ialah pemulanya,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
