Tular sijil kelahiran didakwa milik nenek Machuca tiada asal usul dari Malaysia

MACHUCA
MACHUCA
A
A
A

DOKUMEN rasmi didakwa milik nenek kepada pemain kelab Velez Sarsfield, Imanol Machuca tular selepas laporan eksklusif media Argentina, Capital de Noticias mendedahkan bukti baharu yang menafikan dakwaan wanita itu mempunyai asal usul dari Malaysia.

Pendedahan tersebut dibuat susulan pengesahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) minggu ini berhubung penggantungan setahun terhadap tujuh pemain yang pernah mewakili skuad kebangsaan Malaysia selepas disabitkan kesalahan memalsukan maklumat bagi mendapatkan kelayakan bermain di peringkat antarabangsa.

Dalam kenyataan rasmi, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan dikemukakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekali gus mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan terhadap semua pemain terbabit.

Selain digantung, setiap pemain turut dikenakan denda 2,000 franc Swiss (RM10,900) manakala FAM diperintah membayar denda keseluruhan 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta).

Media Argentina itu dalam laporan terbaharunya mendakwa telah memperoleh sijil kelahiran asal nenek Machuca, Concepcion Agueda Alaniz yang menunjukkan wanita itu sebenarnya dilahirkan di bandar Roldán, Wilayah Santa Fe, Argentina dan bukan di Pulau Pinang seperti didakwa sebelum ini.

“Di Roldán, daerah San Lorenzo, Wilayah Santa Fe, pada 23 Ogos 1954, jam 10 pagi, Encik Celestino Alaniz, warganegara Argentina, melaporkan kelahiran anak perempuannya, Concepción Agueda, hasil perkahwinan dengan isterinya, Nélida Agustina Ordóñez," menurut dokumen yang dimuat naik oleh portal Argentina itu.

Laporan itu sekali gus mengesahkan bahawa kedua-dua datuk dan nenek Machuca merupakan rakyat Argentina sepenuhnya.

Menurut media Argentina tersebut, semakan ke atas sijil perkahwinan pasangan itu menunjukkan Concepcion Agueda Alaniz telah berkahwin dengan Jorge Luis Saracho, seorang buruh yang juga lahir di Roldán pada 27 Ogos 1971 sekali gus menolak kemungkinan wujudnya hubungan darah dengan mana-mana individu berketurunan Malaysia.

Sebelum ini, Machuca dalam satu temu bual bersama media penyokong Sabado Velez mendakwa beliau layak mewakili Malaysia melalui salasilah neneknya. Namun, hasil siasatan terkini membuktikan sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Media Argentina itu sebelum ini turut mendedahkan dokumen kelahiran datuk kepada Facundo Garces yang kononnya berasal dari Pulau Pinang sebenarnya menunjukkan dia dilahirkan di Santa Fe, Argentina.

Bagaimanapun, kesahihan sijil kelahiran tersebut masih belum dapat dipastikan sepenuhnya setakat ini.

Ringkasan AI

  • Dokumen rasmi menafikan asal usul nenek pemain Velez Sarsfield, Imanol Machuca dari Malaysia
  • FIFA mengesahkan penggantungan setahun terhadap tujuh pemain Malaysia kerana memalsukan maklumat
  • Pemain terbabit dan FAM dikenakan denda
  • Sijil kelahiran nenek Machuca, Concepcion Agueda Alaniz, menunjukkan beliau dilahirkan di Argentina
  • Semakan dokumen membuktikan kedua-dua datuk dan nenek Machuca adalah warganegara Argentina

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!