Kes Zara Qairina: Pendengaran permohonan komital terhadap Shafie Apdal, Mona Din ditetapkan 1 Disember

Pendengaran permohonan komital terhadap Mohd Shafie dan Mona Din ditetapkan bermula 1 Disember ini di Mahkamah Sesyen Koroner Papar yang bersidang di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. Gambar hiasan
Pendengaran permohonan komital terhadap Mohd Shafie dan Mona Din ditetapkan bermula 1 Disember ini di Mahkamah Sesyen Koroner Papar yang bersidang di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu. Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Pendengaran permohonan komital (penghinaan mahkamah) terhadap Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan aktivis, Mona Din, ditetapkan bermula 1 Disember ini di Mahkamah Sesyen Koroner Papar yang bersidang di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan memaklumkan, kebenaran mahkamah bagi memulakan prosiding tersebut telah diberikan pada 23 Oktober lalu.

"Kertas-kertas kausa kes permohonan komital bagi penghinaan mahkamah telah diserahkan kepada Che Muna Din pada awal pagi 1 November lalu di kediaman beliau di Shah Alam dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada petang 3 November 2025 di Tawau.

"Kedua-dua responden dikehendaki menjawab pernyataan menurut Aturan 52 Kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 beserta afidavit sokongan dalam tempoh 14 hari," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, katanya, kes ditetapkan untuk pendengaran pada 1 Disember depan di Mahkamah Sesyen Koroner Papar.

Pada 23 Oktober lalu, Koroner Amir Shah Amir Hassan membenarkan permohonan ex parte (sebelah pihak) pihak pendakwaan untuk memula prosiding hina mahkamah terhadap Mohd Shafie dan Mona atau nama sebenarnya Che Muna Din berkaitan kenyataan yang dibuat mereka berhubung inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Untuk rekod, Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri dalam satu ucapan di Sandakan sebelum ini menyifatkan kematian remaja berusia 13 tahun itu sebagai satu pembunuhan selain mempersoalkan tatacara siasatan polis dan pakar patologi forensik.

Sementara itu, Mona Din didakwa memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap mahkamah di laman Facebook miliknya pada 4 September lalu berkaitan prosiding inkues kematian Zara Qairina.

Dalam hantaran tersebut, Mona mempertikaikan keterangan saksi iaitu Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth, Dr Jessie Hiu yang merupakan saksi pertama inkues.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Pendengaran permohonan komital terhadap Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan aktivis, Mona Din bermula 1 Disember di Mahkamah Sesyen Koroner Papar
  • Mahkamah memberi kebenaran memulakan prosiding pada 23 Oktober
  • Kertas-kertas kausa kes diserahkan kepada Mona Din pada 1 November dan Mohd Shafie Apdal pada 3 November
  • Responden dikehendaki menjawab pernyataan dalam tempoh 14 hari
  • Prosiding berkaitan penghinaan mahkamah atas kenyataan mengenai inkues kematian Zara Qairina Mahathir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!