Gempa Segamat: 'Rasa gegaran dua saat ' - Penduduk

Penduduk Segamat dikejutkan dengan gegaran selama dua saat susulan gempa bumi lemah 2.7 magnitud di Jementah malam Isnin. Gambar kecil: Ahmad Asri
Penduduk Segamat dikejutkan dengan gegaran selama dua saat susulan gempa bumi lemah 2.7 magnitud di Jementah malam Isnin. Gambar kecil: Ahmad Asri
A
A
A

SEGAMAT - [DIKEMAS KINI] Selepas hampir dua bulan tiada gegaran gempa bumi direkodkan, penduduk di daerah ini kembali dikejutkan dengan gegaran yang dirasai pada malam Isnin.

Penduduk Kampung Tengah, Ahmad Asri Talib, 52, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.55 malam ketika beliau bersama keluarga berada di rumah.

“Waktu itu saya sedang berdiri, tiba-tiba rumah bergegar. Saya tidak tahu lagi ada gempa dan masing-masing mula bertanyakan gegaran itu.

“Gegaran berlaku sekitar dua saat dan selepas itu kumpulan WhatsApp jiran serta saudara mara mula kecoh bertanyakan hal sama,” katanya ketika dihubungi.

Menurut Ahmad Asri, gegaran kali ini lebih singkat berbanding kejadian sebelum ini namun cukup membuatkan penduduk bimbang kemungkinan akan berlaku lagi.

Sementara itu, penduduk Kampung Bukit Lintang, Nori Azman, 34, berkata, walaupun gempa berkenaan disifatkan sebagai gegaran lemah, ia tetap menimbulkan rasa cemas kepada penduduk.

“Kami sedang berehat, tiba-tiba terasa gegaran. Sudah lebih dua bulan gegaran susulan tidak berlaku dan apabila berlaku semula memang menakutkan. Kami berdoa agar dijauhkan daripada bencana,” katanya.

Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan lain antaranya Kampung Pogoh Tengah, Taman Yayasan, Jalan Seberang Batu Badak, Kampung Gudang Garam dan Gemereh.

Selain itu, gegaran juga dirasai di Kampung Paya Dalam, Kampung Tasek, Kampung Gubah, Taman Berjaya Buloh Kasap, Kampung Pogoh dan Paya Pulai.

Artikel Berkaitan:

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada malam Isnin, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan gempa bumi lemah berukuran 2.7 magnitud berlaku di Jementah pada kedudukan 2.5 darjah utara dan 102.8 darjah timur dengan kedalaman 10 kilometer.

Sejak Ogos lalu, daerah Segamat dan kawasan sekitar telah merekodkan lebih lima gegaran, antaranya berukuran 4.1 magnitud (24 Ogos), 3.2 magnitud (27 Ogos), 2.5 magnitud (28 Ogos) dan 3.4 magnitud (29 Ogos).

Sementara itu, di Batu Pahat pula, gempa bumi dengan kekuatan 2.7 dan 2.9 magnitud dilaporkan berlaku masing-masing pada 30 dan 31 Ogos lalu, manakala gegaran terakhir berukuran 2.9 magnitud direkodkan pada 3 September lalu.


Tiada kerosakan harta, kecederaan, kemalangan jiwa dilaporkan

TIADA kerosakan harta benda, kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini susulan kejadian gempa bumi yang berlaku pada jam 7.55 malam Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, Mohd Ezzuddin Sanusi berkata, pihak berkuasa keselamatan serta agensi berkaitan kini menjalankan pemantauan lanjut.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Segamat berkata, tindakan itu bagi memastikan keadaan di daerah ini kekal selamat, terutama kepada orang awam.

“Satu gegaran lemah pada magnitud 2.7 dilaporkan berlaku di daerah ini pada jam 7.55 malam ini.

“Gegaran berkenaan dapat dirasai oleh penduduk di beberapa kawasan sekitar daerah ini dan kawasan berdekatan,” katanya dalam kenyataan pada malam Isnin.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan akan terus memantau keadaan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.

Beliau meminta orang ramai bertenang dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih, sebaliknya mendapatkan perkembangan terkini melalui sumber rasmi seperti MetMalaysia dan agensi kerajaan lain.

“Orang awam digalakkan melaporkan sebarang insiden kecemasan kepada pihak berkuasa.

“JPBD Segamat akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” ujarnya.

 

 

Ringkasan AI

  • Penduduk Segamat dikejutkan dengan gegaran gempa bumi yang dirasai pada malam Isnin selepas hampir dua bulan tiada gegaran
  • Gegaran dirasai di pelbagai kawasan termasuk Kampung Tengah, Kampung Bukit Lintang, Kampung Pogoh Tengah dan beberapa kawasan lain
  • Gempa bumi lemah berukuran 2.7 magnitud terjadi di Jementah dengan kedalaman 10 kilometer
  • Tiada kerosakan harta benda, kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan akibat gempa tersebut
  • Pihak berkuasa dan Jabatan Meteorologi Malaysia menjalankan pemantauan lanjut dan meminta penduduk mendapatkan maklumat dari sumber rasmi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!