Akaun Instagram dikendalikan Ebit sendiri - Saksi

Ebit berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan wanita melalui WhatsApp antara Mac dan Jun 2021. Foto fail Bernama
Ebit berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan wanita melalui WhatsApp antara Mac dan Jun 2021. Foto fail Bernama
A
A
A

TENOM - Seorang saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes gangguan seksual membabitkan Ebit Erawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada Isnin bahawa akaun Instagram milik tertuduh dikendalikan oleh pendakwah itu sendiri.

Pegawai Penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Superintenden Noor Asyikin Shamsuri, 46, yang juga saksi ke-18 itu berkata, ia adalah hasil analisis yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).

Noor Asyikin berkata, berdasarkan surat jawapan daripada MCMC, agensi itu menyatakan bahawa Instagram atas nama Ebit Lew itu dikendalikan atau dikawal selia oleh seorang individu bernama Ebit Irawan Ibrahim Lew.

Saksi itu berkata, terdapat maklumat tertuduh disertakan bersama gambar profil tertuduh yang berjubah merah, manakala hasil carian di Google pula menemukan nama syarikat Transform Training & Consultancy dipercayai mempunyai kaitan dengan kes yang sedang disiasat.

"Selain itu laporan SKMM (MCMC) juga menunjukkan laman Facebook rasmi Ebit juga memaparkan nombor telefon yang sama (pada hasil carian) tersebut," katanya ketika ditanya dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab manakala Ebit diwakili peguam, Datuk Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Prabjit Singh Gill.

Noor Asyikin berkata, laporan analisa itu diterima apabila Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia Bukit Aman membuat permohonan kepada MCMC untuk membuat analisa akaun media sosial dan nombor telefon tertuduh.

Sementara itu, dalam pemeriksaan balas Ram Singh, saksi menafikan wujud komunikasi antara pengadu dan tertuduh melalui Instagram sejak 2018 kerana berdasarkan siasatan, pengadu berkomunikasi dengan Lew melalui aplikasi WhatsApp.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah melalui WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. - Bernama

Ringkasan AI

  • Seorang saksi pendakwaan menyatakan akaun Instagram Ebit Lew dikendalikan oleh beliau sendiri
  • Saksi itu ialah Superintenden Noor Asyikin Shamsuri, yang mendapat maklumat dari Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia
  • Terdapat maklumat tertuduh dan gambar profil beliau dalam akaun Instagram tersebut
  • Laporan MCMC juga menunjukkan nombor telefon yang sama pada laman Facebook rasmi Ebit
  • Ebit Lew berdepan 11 pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui WhatsApp antara Mac dan Jun 2021

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!