'Selamat maju jaya Mat Don'

Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP)
Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP)
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain tengah, Liridon Krasniqi sekali gus menamatkan spekulasi bekas tonggak Kedah itu bakal menyarung jersi skuad Tok Gajah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.

Mengakui ada perbincangan lisan antara PBNP dan Liridon sebelum ini, Pengurus Pahang Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya pemain kelahiran Kosovo berusia 27 tahun itu mengubah fikiran di saat akhir.

Beliau berkata sebagai pemain profesional, Liridon bebas memilih mana-mana pasukan lain selain Pahang yang dirasakan sesuai demi peningkatan prestasinya.

“Tidak timbul soal mungkir janji kerana spekulasi itu pun bermula di laman Instagram. Saya yakin ramai yang melihat hantaran (di Instagram) itu seolah-olah beliau akan hadir ke Pahang, tapi apakan daya beliau ingin memilih pasukan lain demi meneruskan karier di Malaysia.

“Walaupun ada perbincangan secara lisan, itu terpulang kepada pemain...kalau dia sudah putuskan untuk bermain dengan kelab lain, itu hasrat dia dan kita ucapkan selamat maju jaya kepada beliau di kelab itu nanti,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan bersama Al-Ikhsan Sports di sini, hari ini.

Liridon yang diberi jolokan ‘Mat Don’ sebelum ini dikaitkan dengan pasukan Pahang selepas beliau memuat naik gambar seekor gajah di laman Instagram miliknya pada Rabu lepas.

Bagaimanpun, timbul spekulasi baharu apabila pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar bersama bekas bintang Kedah itu, semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih Pahang Dollah Salleh mengakui menerima makluman mengenai perkembangan terbaharu Liridon itu dan sedang berusaha mengenal pasti beberapa pemain import lain untuk didaftarkan sebelum bermula saingan Liga Super bulan depan.

Artikel Berkaitan:

“Macam yang hangat diperkatakan semalam, kita dapat tahu Mat Don dah pergi ke JDT dan itu yang saya tahu setakat ini. Kita masih ada beberapa calon lain dalam pemerhatian dan akan berusaha secepat mungkin melengkapkan senarai penuh pemain sebelum bermula Liga Super,” katanya. - Bernama