Roblox beri jaminan tingkat keselamatan - Hannah

KUALA LUMPUR - Pihak Roblox memberi jaminan akan mempertingkat tahap keselamatan melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan dan pemantauan manusia.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pihak Roblox turut memaklumkan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia terutama dalam perkongsian data dan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.
Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, Hannah telah menzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak kepada pihak Roblox, aplikasi permainan dalam talian yang popular.
"Kita mahu dunia digital yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga membina karakter dan nilai yang betul untuk generasi akan datang," katanya yang turut memuat naik gambar beliau bersama pihak Roblox.
Beliau berkata platform seperti Roblox kini mempunyai lebih 100 juta pengguna di seluruh dunia termasuk lebih sejuta di Malaysia.
"Dengan capaian sebesar ini, tanggungjawab melindungi pengguna muda tidak boleh dipandang ringan.
"Sebagai Menteri Belia dan Sukan dan juga seorang ibu, saya risau apabila melihat bagaimana sesetengah permainan dalam talian boleh mempengaruhi tingkah laku dan emosi kanak-kanak," katanya.
Pada Sabtu lepas, seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun parah dikelar abangnya yang berusia sembilan tahun dengan objek tajam di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat.
Ketua Polis Johor Ab Rahaman Arsad berkata siasatan awal mendapati abang mangsa mungkin mencederakan adiknya selepas permainan Roblox yang dimainnya terganggu dan semua ‘point’ dikumpulnya hilang. - Bernama
Ringkasan AI
- Pihak Roblox berjanji untuk meningkatkan keselamatan dengan kecerdasan buatan dan pemantauan manusia
- Hannah menyatakan Roblox bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Malaysia
- Hannah Ymenzahirkan kebimbangan mengenai keselamatan kanak-kanak dalam permainan dalam talian
- Roblox mempunyai lebih dari 100 juta pengguna global, termasuk lebih sejuta di Malaysia
- Seorang kanak-kanak parah dikelar oleh abangnya kerana terganggunya permainan Roblox
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
