Roblox wajibkan pengesahan umur, hadkan interaksi dewasa–kanak-kanak

Sekitar 100 juta orang menggunakan Roblox setiap hari, dengan pengguna bawah 13 tahun merangkumi kira-kira 40 peratus daripada jumlah pengguna pada tahun 2024. - Foto: AFP
Sekitar 100 juta orang menggunakan Roblox setiap hari, dengan pengguna bawah 13 tahun merangkumi kira-kira 40 peratus daripada jumlah pengguna pada tahun 2024. - Foto: AFP
A
A
A

PARIS – Penerbit permainan Roblox akan melaksanakan mekanisme pengesahan umur selepas dakwaan bahawa permainan video yang sangat popular dalam kalangan kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia itu gagal memastikan keselamatan pengguna.

Ketua keselamatan syarikat Amerika berkenaan, Matt Kaufman menerusi satu catatan blog berkata Roblox akan mengembangkan anggaran umur kepada semua penggunanya yang mengakses ciri komunikasi di platform tersebut menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, syarikat itu akan menggabungkan anggaran umur pengguna, semakan pengenalan rasmi dan persetujuan ibu bapa untuk melancarkan sistem baharu yang direka bagi menghadkan komunikasi antara orang dewasa dan kanak-kanak, kecuali mereka saling mengenali di dunia sebenar.

"Sekitar 100 juta orang menggunakan Roblox setiap hari, dengan pengguna berusia bawah 13 tahun merangkumi kira-kira 40 peratus pengguna pada tahun 2024.

"Namun, permainan ini berulang kali dituduh gagal melindungi pemain termuda sejak beberapa tahun kebelakangan ini," katanya.

Negeri Louisiana di Amerika Syarikat memfailkan saman pada Ogos lalu dengan menuduh Roblox memudahkan eksploitasi kanak-kanak dan pengedaran bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Tahun lalu, firma pelaburan Hindenburg Research, yang terkenal dengan taktik jualan pendek, mendakwa platform itu melebih-lebihkan bilangan pemain aktif bulanan dan tidak cukup melindungi pengguna daripada pemangsa seksual.

Walaupun Roblox menafikan dakwaan tersebut, syarikat itu telah mengumumkan pelbagai langkah dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk memperketat kawalan ibu bapa dan melabel kandungan ciptaan pengguna dengan lebih baik.

Roblox merupakan platform dalam talian yang besar dengan penampilan seperti mainan, di mana pemain boleh mencipta permainan mereka sendiri dan berkongsi dengan orang lain, dengan pengalaman yang merangkumi perlumbaan kereta, sukan, konsert secara langsung hingga permainan menembak.

Artikel Berkaitan:

Pengumuman syarikat itu dibuat ketika beberapa kerajaan di seluruh dunia meningkatkan kawalan umur dalam talian.

Laman web, rangkaian sosial dan platform perkongsian video kini diwajibkan mengenakan kawalan umur yang ketat di Britain di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian London, manakala Perancis serta negara EU lain merancang untuk menguji alat pengesahan umur baharu bagi kandungan dewasa dalam beberapa bulan akan datang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!