Pesta 10 gol iringi kejayaan JDT IV julang Piala Belia

JOHOR Darul Ta’zim IV (JDT IV) menutup kempen Piala Belia 2025 dengan penuh bergaya apabila membelasah Kuching City FC 10-0 pada aksi terakhir di Stadium Majlis Perbandaran Kulai pada Sabtu.
Skuad bimbingan Juan Alejandro Jimenez itu tidak memberi ruang langsung kepada lawan sejak wisel permulaan, sekali gus menegaskan keunggulan skuad muda Harimau Selatan selaku pasukan terbaik sepanjang musim ini.
Kemenangan besar itu turut menambah seri kegemilangan buat JDT IV yang sudah lebih awal mengesahkan kejuaraan, menjadikan penampilan terakhir musim ini sebagai simbol dominasi dan konsistensi di pentas pembangunan bola sepak negara.
Fadhlul Hadi menjadi wira perlawanan dengan empat jaringan pada minit ke m-18, m-65, m-72 dan m-90+2, diikuti Adam Hakimi (m-22’), Abid Safaraz (m-23’, m-46’, m-58’), Nur Hakim (m-61’) dan Amar Imran (m-77’) yang masing-masing melengkapkan pesta gol skuad muda Harimau Selatan.
Kejayaan itu diraikan penuh semangat apabila trofi dan hadiah disampaikan sejurus tamat perlawanan Ahli Jawatankuasa Pertandingan FAM, Mohd Abdul Azzim Din serta Ketua Pegawai Operasi JDT FC, Alistair Edwards.
Dalam pada itu, pemain JDT V, Arayyan Hakeem turut dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Piala Belia dengan koleksi 26 gol, menandakan kekuatan sistem pembangunan JDT yang terus melahirkan bakat berkualiti tinggi dari akar umbi.
Ringkasan AI
- JOHOR Darul Ta'zim IV (JDT IV) mengalahkan Kuching City FC 10-0 pada aksi terakhir Piala Belia 2025
- Pasukan di bawah bimbingan Juan Alejandro Jimenez menunjukkan dominasi sepenuhnya
- Kemenangan besar itu menegaskan kedudukan JDT IV sebagai pasukan terbaik musim ini
- Fadhlul Hadi mencetak empat gol, memimpin pesta jaringan pasukan
- Arayyan Hakeem dari JDT V dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak Piala Belia dengan 26 gol
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
