PRN Sabah: PKR jangka umum calon pada 9 atau 10 November

Mustapha
Mustapha
A
A
A

SANDAKAN - Senarai calon PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dijangka diumumkan pada 9 atau 10 November ini, menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud.

Mustapha berkata, pengumuman rasmi akan dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu.

"(Perbincangan) kerusi dengan Barisan Nasional sudah dimuktamadkan, manakala dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tinggal satu kerusi lagi, tapi saya fikir akan dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Jelajah Harapan Urang Sabah Majlis Pimpinan Keadilan Sabah di sini malam Jumaat.

Mengenai tumpuan di Parlimen Sandakan, Mustapha berkata, PKR Sabah akan meletakkan calon bagi dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Gum Gum dan Karamunting

"Calon satu mewakili bumiputera Islam Sabah dan satu lagi mewakili kaum Tionghua. Hari ini kita hadir (jelajah) untuk memberi penjelasan kepada semua perkara yang sedang dilaksanakan Kerajaan Madani untuk Sabah.

"Kadang-kadang kita dipesongkan oleh prasangka-prasangka dan menerusi Jelajah Urang Sabah ini kita mewakili kerajaan Madani, parti, Pakatan Harapan dan beri penerangan kepada akar umbi tentang sumbangan kerajaan,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, manakala tarikh penamaan pada 15 November manakala pengundian awal pada 25 November. - Bernama

 

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Senarai calon PKR bagi PRN Sabah dijangka diumumkan pada 9 atau 10 November oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kota Kinabalu
  • Pengumuman melibatkan kerusi telah dimuktamadkan dengan Barisan Nasional dan hampir selesai dengan Gabungan Rakyat Sabah
  • PKR Sabah akan meletakkan calon bagi dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Gum Gum dan Karamunting
  • Calon akan mewakili bumiputera Islam Sabah dan kaum Tionghua
  • Hari pengundian bagi PRN Sabah ditetapkan pada 29 November, tarikh penamaan pada 15 November dan pengundian awal pada 25 November

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!