KPKT hormati kebebasan media, hargai peranan wartawan

Kenyataan media KPKT pada Jumaat.
Kenyataan media KPKT pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menghargai sumbangan media tempatan dan antarabangsa melalui liputan yang diberikan serta menghormati kebebasan wartawan untuk mengemukakan pertanyaan sepanjang sidang media.

KPKT menjelaskan, bagaimanapun pihak yang menjawab soalan juga wajar diberikan ruang untuk memberi maklum balas kepada setiap persoalan yang diajukan.

“Selain itu, teguran secara berhemah bagi memastikan ketepatan fakta dan kefahaman bersama juga adalah kaedah kebersamaan demi mencapai objektif program serta dasar kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, Menteri KPKT, Nga Kor Ming ketika mengumumkan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ di ibu negara dikatakan berang dengan soalan daripada wartawan Utusan Malaysia yang bertanyakan mengapa tema projek tersebut dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.

Ujar KPKT, sidang media yang diadakan bagi pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026 itu antaranya bertujuan memperkukuh usaha promosi pelancongan negara.

Menurutnya, selain itu, ia juga bagi menarik perhatian pelancong antarabangsa terhadap keunikan dan daya tarikan ikonik khususnya di ibu negara.

“Sebagai tanda komitmen dalam menjunjung martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, keseluruhan sidang media oleh YB Menteri dijalankan dalam Bahasa Melayu, termasuk ucapan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur,” ujarnya.

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • KPKT menghargai sumbangan media dan menghormati kebebasan wartawan
  • Pihak yang menjawab soalan perlu diberi ruang untuk balas
  • Teguran berhemah penting untuk ketepatan fakta
  • Sidang media Projek Inovasi Pencahayaan untuk promosi pelancongan dan menarik pelancong antarabangsa
  • Komited junjung martabat Bahasa Melayu, sidang media dijalankan dalam Bahasa Melayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!