Lawatan Trump tarik peminat 'Air Force One'

Pesawat rasmi, Air Force One yang berlepas pada jam 10.06 pagi menandakan berakhirnya lawatan dua hari Trump ke Malaysia. Foto Bernama
Pesawat rasmi, Air Force One yang berlepas pada jam 10.06 pagi menandakan berakhirnya lawatan dua hari Trump ke Malaysia. Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bukan sahaja menandakan peristiwa diplomatik yang penting, ia juga menarik perhatian peminat pesawat Air Force One yang berkumpul di bawah terik mentari pagi untuk merakamkan detik penerbangan yang amat jarang berlaku di negara ini.

Pelajar berusia 22 tahun yang ingin dikenali sebagai ‘Z’ berkata, beliau sangat teruja melihat kapal terbang khas yang membawa presiden ekonomi terbesar dunia itu mendarat dan berlepas berlatarbelakangkan langit Sepang.

"Sangat jarang berlaku sebenarnya. Beliau antara hanya tiga presiden AS yang datang ke Malaysia," kata pemuda dari Bangi itu yang menunggu seawal jam 6.30 pagi bersama rakan-rakannya, masing-masing menggalas kamera.

Menurut Z, dia dan rakan-rakan menunggu beberapa jam untuk menyaksikan sendiri dan mengabadikan detik jentera ikonik biru putih itu mendarat semalam dan berlepas hari ini.

"Masing-masing sibuk mengambil gambar. Ia adalah momen bersejarah. Anda tidak dapat melihat Air Force One setiap hari,” katanya.

Baginya dan rakan-rakan, ia bukan tentang politik atau dasar tetapi tentang menjadi sebahagian daripada detik yang menggabungkan bidang penerbangan, diplomasi dan sejarah.

"Sebahagian kami tidak bersetuju dengan pegangan politik beliau (Trump), kami hanya mahu melihat pesawat tersebut,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati puluhan peminat pesawat berkumpul di pagar Kompleks Bunga Raya dengan kelengkapan seperti tripod dan lensa untuk merakamkan foto terbaik Air Force One. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Lawatan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia adalah acara penting pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
  • Peminat pesawat berkumpul untuk merakam detik langka pendaratan dan berlepas Air Force One
  • Pelajar berusia 22 tahun dan rakan-rakan menunggu dari pagi untuk mendapatkan gambar pesawat tersebut
  • Acara ini dilihat sebagai momen bersejarah yang menggabungkan penerbangan, diplomasi dan sejarah
  • Peminat pesawat mengabaikan politik demi menyaksikan dan merakam Air Force One

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!