Rantai emas bernilai RM10,000 diragut ketika tidur

TEMERLOH – Seorang wanita kerugian kira-kira RM10,000 dalam kejadian samun selepas rantai leher emas miliknya diragut seorang lelaki di Taman Jaya di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa yang berusia 50 tahun sedang tidur bersama anaknya di ruang tamu.
Menurutnya, mangsa tersedar selepas rantai lehernya direntap dengan kuat oleh suspek.
“Suspek dipercayai seorang lelaki dan berpakaian serba hitam. Dia bertindak merentap rantai leher emas mangsa sehingga putus sebelum cuba merampas gelang emas di tangan mangsa namun gagal.
"Mangsa mengalami kesan lelasan di bahagian leher akibat kejadian itu, manakala suspek melarikan diri menggunakan motosikal jenis skuter yang tidak dapat dikenal pasti nombor pendaftarannya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Jelas beliau, anggaran kerugian yang dialami mangsa kira-kira RM10,000.
Ujarnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.
“Pihak polis tidak menolak kemungkinan suspek terbabit mungkin individu sama yang terlibat dalam beberapa kejadian serupa di kawasan ini baru-baru ini,” jelasnya.
Sebelum ini, seorang wanita warga emas berusia 78 tahun diserang dan disamun di rumahnya dan mengalami kerugian kira-kira RM1,000 apabila gelang dan telefon bimbit dibawa lari oleh seorang suspek di Taman Temerloh Jaya di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Mohd Nasyim turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan memastikan pintu serta tingkap rumah dikunci walaupun ketika berada di dalam rumah.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta menyalurkannya di balai-balai polis berhampiran," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

