Ganjaran RM5,000 kesan jentolak dicuri

CCTV merakam kumpulan lelaki melarikan jentolak yang diletakkan di tepi jalan.
CCTV merakam kumpulan lelaki melarikan jentolak yang diletakkan di tepi jalan.
A
A
A

KOTA BHARU – Pemilik sebuah jentolak menawarkan ganjaran RM5,000 kepada orang ramai yang dapat membantu menjejaki jentera berat dicuri sekumpulan lelaki di Tiong di sini pada awal pagi Sabtu.

Dalam kejadian kira-kira antara jam 4 pagi hingga 5 pagi itu, dua jentera berat yang disewa oleh Sarisi Muhammadi, 45, suami kepada pengusaha kedai makan, Noor Mala Saleh, 47, telah dicuri oleh lima lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Nissan Sentra dan sebuah motosikal Honda.

Menurut Noor Mala, salah satu jentera terbabit telah ditemui semula selepas ditinggalkan oleh perompak di Pauh Lima, Bachok akibat tayar bocor, manakala sebuah lagi masih belum ditemukan.

Katanya, kejadian itu disedari ketika suaminya ke lokasi untuk menyerahkan kunci kepada pekerja bagi menjalankan kerja memandu jentolak.

“Sampai saja lokasi, tak nampak dua jentolak yang diletakkan di depan kedai.

“Lapan tahun parkir di situ, tak pernah jadi apa-apa, tapi pagi itu sangat terkejut bila dua jentolak hilang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, jentera berkenaan disewa suaminya sejak sekian lama dan menjadi sumber pendapatan utama mereka melalui upah kerja penyodokan, meratakan serta mengangkut batu dan tanah.

Menurutnya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kumpulan suspek datang dua kali ke lokasi tersebut, masing-masing untuk melarikan jentolak pertama pada jam 4 pagi dan kembali semula pada jam 5 pagi bagi melarikan jentolak kedua.

“Jentolak pertama tayarnya pancit, sebab itu ditinggalkan di tepi jalan sebelum mereka datang semula untuk melarikan jentolak kedua.

Artikel Berkaitan:

“Dalam CCTV nampak seorang suspek masuk ke tempat duduk pemandu dan menghidupkan enjin sebelum seorang lagi memandu dan melarikan jentera,” katanya.

Beliau menambah, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Pengkalan Chepa.

“Mana-mana individu yang menjumpai atau memberikan maklumat tepat mengenai jentolak bernombor pendaftaran DBN 1889 akan diberi ganjaran RM5,000,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pemilik jentolak tawar ganjaran RM5,000 untuk maklumat jentolak dicuri
  • Dua jentolak disewa dicuri awal pagi di Tiong, Kota Bharu
  • Satu jentolak ditemui ditinggalkan di Bachok, satu lagi masih hilang
  • CCTV rakam suspek mencuri dua jentolak pada waktu berbeza
  • Laporan polis telah dibuat dan informasi mengenai jentolak akan dihadiahi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!