Trump tiba di KLCC menaiki ‘The Beast’

Trump tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan perisai miliknya iaitu ‘The Beast’ bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Foto Bernama
Trump tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan perisai miliknya iaitu ‘The Beast’ bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini diiringi rapat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menaiki kenderaan perisai miliknya iaitu ‘The Beast’ bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.

Ini merupakan kunjungan sulung Trump ke Malaysia dan rantau Asia Tenggara selepas memegang jawatan sebagai Presiden AS buat kali kedua pada Januari lalu.

Trump, 79, mengenakan kot berwarna biru gelap dengan tali leher merah dilihat memasuki pekarangan pusat konvensyen bersama delegasi AS yang lain.

‘The Beast’, limousin mewah yang dikatakan paling kebal di dunia dan memiliki ciri keselamatan tahap tinggi itu tiba di pekarangan KLCC sekitar jam 10.54 pagi, dikawal ketat kenderaan pengiring serta sepasukan anggota keselamatan dari AS.

‘Kubu bergerak’ sepanjang lima meter, berat lapan tan dan pintu kalis peluru dengan ketebalan 20 sentimeter itu difahamkan memiliki 120 voltan, mampu mengakibatkan renjatan elektrik bagi sesiapa yang cuba menyentuhnya.

Kali terakhir kereta tersebut berada di Malaysia sekitar 10 tahun lalu ketika Barack Obama mengadakan lawatan rasmi semasa menjawat jawatan Presiden AS.

Pesawat Boeing 747 VC-25A ‘Air Force One’ yang turut digelar ‘The Flying White House’ dinaiki Trump selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 9.54 pagi tadi.

Anwar dan Trump akan mengadakan mesyuarat bilateral petang ini.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua pemimpin negara berkenaan dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan serta hubungan antara rakyat selaras Perkongsian Komprehensif Malaysia-AS.

Di samping itu, Anwar dan Trump dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau serta antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama selain menandatangani beberapa dokumen penting meliputi bidang perdagangan dan keselamatan.

Lawatan itu dikatakan mampu memperkukuh lagi hubungan antara Malaysia dan AS serta membuka lembaran baharu ke arah peningkatan tahap kerjasama dua hala yang lebih strategik.

Kerjasama dua hala antara Malaysia dan AS kekal kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1957.

AS antara rakan dagang dan pelabur terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan bernilai RM324.91 bilion (AS$71.39 bilion) pada 2024.

Pemimpin dunia tersebut berada di negara ini selama dua hari iaitu 26 dan 27 Oktober atas jemputan Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN 2025 selepas dipersetujui semua negara anggota.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, lawatan rasmi Trump juga bersempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Ia menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok itu yang berperanan sebagai platform penting untuk memupuk kerjasama lebih mendalam bagi menangani cabaran serantau dan global secara bersepadu serta inklusif.

Lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk pemimpin ASEAN dan rakan dialog utama seperti AS, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Kanada hadir ke sidang berkenaan.

Ini merupakan kali kelima Malaysia memegang jawatan Pengerusi ASEAN sejak 1967, selepas menyandangnya pada 2015, 2005, 1997 dan 1977.

Ringkasan AI

  • Donald Trump tiba di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
  • Ini merupakan kunjungan sulung Trump ke Malaysia sebagai Presiden AS
  • 'The Beast', kenderaan perisai Trump, memiliki ciri keselamatan yang sangat tinggi
  • Anwar dan Trump dijadualkan untuk mengadakan mesyuarat bilateral membincangkan kerjasama perdagangan, pertahanan dan keselamatan
  • Lawatan Trump diharapkan dapat memperkukuh lagi hubungan Malaysia-AS

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!