Warga Bangladesh pakai sut hitam cuba masuk Malaysia

Empat lelaki warga asing berkenaan masing-masing mengenakan sut hitam lengkap, manakala dua wanita pula tampil anggun dengan pakaian tradisional sari. FOTO AKPS
Empat lelaki warga asing berkenaan masing-masing mengenakan sut hitam lengkap, manakala dua wanita pula tampil anggun dengan pakaian tradisional sari. FOTO AKPS
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM – Enam warga Bangladesh yang berpakaian kemas dan bergaya korporat gagal mengaburi pihak berkuasa apabila cubaan mereka memasuki negara ini ditolak di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada Sabtu.

Empat lelaki warga asing berkenaan masing-masing mengenakan sut hitam lengkap, manakala dua wanita pula tampil anggun dengan pakaian tradisional sari.

Namun, penampilan meyakinkan mereka tidak berjaya mengaburi pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) yang menjalankan pemeriksaan teliti sebelum mendapati kesemua individu terbabit tidak memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.

Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, kesemua mereka yang berusia antara 30-an hingga 50-an disyaki bukan pelancong tulen dan dipercayai mempunyai tujuan lain yang menyalahi undang-undang.

“Kesemua mereka telah diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama selepas gagal mengemukakan dokumen dan alasan kemasukan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau menegaskan, AKPS sentiasa komited memastikan pintu masuk negara berada dalam kawalan terbaik serta tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak bagi tujuan yang mencurigakan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!