Pemandu treler diikat, ditutup mata dan dilarikan lebih 30km sebelum ditinggal di tepi jalan

Keadaan mangsa yang ditemui dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup pelekat hitam di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, Raub pada Jumaat.
Keadaan mangsa yang ditemui dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup pelekat hitam di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, Raub pada Jumaat.
A
A
A

RAUB-Seorang pemandu treler ditemui dalam keadaan terikat dan mata ditutup di tepi jalan selepas dilarikan oleh tiga lelaki sejauh 34 kilometer dari Bentong ke Raub pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, seorang lelaki terdengar jeritan meminta tolong oleh mangsa berusia 37 tahun di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, di sini.

Menurutnya, sepasukan anggota peronda polis kemudian digerakkan ke lokasi sebelum membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk tindakan lanjut.

"Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai pemandu treler membawa muatan besi dari Balakong, Selangor ke Gua Musang, Kelantan, singgah berehat di sebuah warung makan di sempadan Bentong–Raub untuk mandi dan menukar pakaian.

“Selepas selesai mandi, mangsa didatangi tiga lelaki yang terus mengikat tangannya menggunakan pengikat kabel sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kereta," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, selepas kira-kira sejam berada di dalam kenderaan itu, mangsa diturunkan di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan dalam keadaan mata ditutup dengan pita pelekat hitam.

Jelasnya, siasatan turut mendapati motif utama kumpulan suspek adalah untuk melarikan lori treler yang membawa muatan besi terbabit.

Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini dalam keadaan stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika berhenti di kawasan terpencil pada waktu malam.

Ujarnya, sebarang maklumat berkaitan kejadian atau individu mencurigakan boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub di talian 09-355 2222.

Ringkasan AI

  • Seorang pemandu treler dilarikan 34 kilometer dari Bentong ke Raub dan ditemui terikat serta mata ditutup
  • Mangsa dilarikan oleh tiga lelaki selepas berhenti untuk mandi dan menukar pakaian di sempadan Bentong-Raub
  • Anggota peronda polis membawa mangsa ke IPD Raub untuk tindakan lanjut setelah menerima laporan
  • Motif utama penculikan adalah untuk melarikan lori treler yang membawa muatan besi
  • Mangsa tidak mengalami kecederaan dan kini dalam keadaan stabil, kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!