ASEAN perlu perkukuh keterjaminan makanan, tenaga dan keselamatan digital - Tengku Zafrul

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, serta Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, menghadiri Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto Bernama
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, serta Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, menghadiri Mesyuarat Bersama Menteri-Menteri Luar dan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - ASEAN perlu mengukuhkan keterjaminan makanan dan tenaga serta keselamatan digital sambil membina kapasiti institusi untuk meramal dan mengurangkan sebarang risiko geopolitik dan ekonomi, sebelum isu berkenaan bertambah buruk sehingga menjadi krisis.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata blok 10 anggota itu perlu melindungi kestabilan rantaian bekalan serantau dan global, menjamin akses kepada barangan kritikal, tenaga dan teknologi, serta mengurangkan kebergantungan berlebihan pada mana-mana pasaran tunggal atau sumber pengeluaran.

"Walaupun sesetengah pihak menyamakan keselamatan ekonomi dengan pengasingan atau perlindungan - langkah yang malangnya diamalkan oleh beberapa kuasa besar - ​​pendekatan ASEAN harus menumpukan pada keterbukaan namun selamat,” katanya dalam ucapan perasmian Mesyuarat Bersama Menteri Luar dan Ekonomi ASEAN, yang pertama dalam tempoh lebih dua dekad, hari ini.

Beliau berkata, sebagai satu daripada blok serantau utama dunia, ASEAN mesti kekal teguh dalam menegakkan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang menyokong kestabilan global dan kemakmuran bersama.

"ASEAN harus menyokong pembaharuan yang lebih fokus dan berimpak tinggi di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terutamanya dalam bidang seperti meningkatkan ketelusan subsidi, mewujudkan tadbir urus perdagangan digital dan memulihkan kepercayaan dalam mekanisme penyelesaian pertikaian, untuk membina semula kepercayaan dan keyakinan terhadap peraturan perdagangan global,” katanya.

Pada masa sama, Tengku Zafrul berkata sudah tiba masanya bagi ASEAN untuk memperkukuh keselamatan ekonomi serantau bagi meningkatkan keupayaannya untuk meramal, mengurus dan bertindak balas terhadap risiko yang muncul, merentasi kedua-dua bidang ekonomi dan politik.

"Saya berharap Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN (AGTF), yang ditubuhkan awal tahun ini, akan memberikan input berharga untuk membantu membentuk masa depan rantau kita,” katanya. - Bernama 

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • ASEAN perlu mengukuhkan keterjaminan makanan, tenaga dan keselamatan digital
  • Perlu melindungi kestabilan rantaian bekalan dan mengurangkan kebergantungan pada pasaran tunggal
  • Menggalakkan keterbukaan dalam sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan
  • ASEAN harus menyokong pembaharuan di WTO terutamanya dalam ketelusan subsidi dan tadbir urus perdagangan digital
  • Memperkukuh keselamatan ekonomi serantau untuk mengurus risiko ekonomi dan politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!