Prinsip baharu saman trafik mampu didik pemandu, selamatkan nyawa

 Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM – Prinsip baharu pembayaran saman trafik yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 berpotensi mengurangkan kadar kesalahan jalan raya, menyelamatkan nyawa dan menjadikan jalan raya di negara ini lebih selamat untuk semua.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya menyambut baik pelaksanaan prinsip yang memperkenalkan sistem saman kepada semua pemilik kenderaan melakukan kesalahan trafik dan jumlah bayaran akan bergantung kepada tempoh masa bayaran dibuat.

Beliau menyifatkan, keputusan untuk tidak lagi memberikan diskaun secara besar-besaran seperti diamalkan sebelum ini merupakan langkah tepat dalam mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab dan berdisiplin di jalan raya.

"Selama ini, tawaran diskaun berkala terhadap saman tertunggak telah menimbulkan persepsi bahawa pesalah boleh menunggu peluang berikutnya untuk membayar dengan kadar lebih rendah.

"Amalan seumpama itu melemahkan keberkesanan undang-undang serta usaha kerajaan dalam mewujudkan budaya pemanduan berhemah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Rabu, kerajaan memutuskan untuk menamatkan pemberian diskaun saman trafik berasaskan program atau kempen khas dengan memperkenalkan pendekatan baharu berprinsipkan ‘Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar’ mulai 1 Januari tahun hadapan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti keperluan untuk menyeragamkan kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan pelaksanaan undang-undang jalan raya di seluruh negara dilaksanakan secara lebih konsisten, telus dan adil.

Tambah Lam Thye, pendekatan baharu tersebut memberi isyarat jelas bahawa undang-undang jalan raya mesti dipatuhi dan sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan sewajarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau menasihatkan supaya pelaksanaan dasar itu harus disertai dengan penguatkuasaan konsisten, telus dan adil agar rakyat yakin bahawa setiap saman dikeluarkan adalah tepat dan tidak berat sebelah.

"Selain itu, kerajaan dan pihak berkuasa perlu memperkukuh dasar ini dengan pendidikan keselamatan jalan raya yang berterusan, pemantauan rapi terhadap pesalah berulang, serta penggunaan teknologi seperti kamera penguatkuasaan automatik bagi memastikan keadilan dan ketelusan," ujarnya lagi.

Beliau berpandangan, matlamat utama dasar berkenaan bukan semata-mata untuk mengutip hasil, tetapi untuk mengubah sikap dan tabiat pemanduan demi keselamatan semua pengguna jalan raya.

Ringkasan AI

  • Prinsip baharu pembayaran saman trafik akan diperkenalkan mulai 1 Januari 2026 untuk mengurangkan kesalahan jalan raya
  • Diskaun bagi saman trafik tidak akan lagi diberikan secara besar-besaran untuk mendidik masyarakat bertanggungjawab
  • Dasar 'Lebih Cepat Anda Bayar, Lebih Sedikit Anda Perlu Bayar' bertujuan memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi dengan lebih konsisten
  • Pendekatan ini diasaskan pada keperluan untuk menyeragamkan kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun antara JPJ dan PDRM
  • Penguatkuasaan konsisten dan pendidikan keselamatan jalan raya diperlukan untuk meningkatkan keberkesanan dasar ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!