Persatuan bas ekspres mohon kerajaan naikkan tambang

Bas ekspres- Gambar hiasan
Bas ekspres- Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU – Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (PEMBAWA) memohon kerajaan menaikkan 30 peratus kadar tambang bas ekspres bagi mengurangkan beban kepada pengusaha bas di negara ini.

Yang Dipertuanya, Cik Ibrahim Cik Ismail berkata, 15 pengusaha bas yang bernaung di bawah persatuan itu menanggung beban kenaikan kos termasuk gaji minimum setiap pekerja RM1,100.

Selain itu katanya, pengusaha juga perlu menaik taraf perkhidmatan dan penyelenggaraan kenderaan.

“Diharapkan harga tiket dapat dinaikkan dalam tempoh terdekat dapat membantu pengusaha menangani kos yang semakin meningkat. Kasihan pengusaha bas kerana kami perlu beri khidmat kepada masyarakat termasuk pekerja.

“Ini berikutan sudah 11 tahun tiada kenaikan harga tiket bas ekspres dan yang terakhir pada 2008,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Penghayatan Wawasan Mutiara 2019 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 158 ejen dan pemandu bas E-Mutiara diraikan.

Pada sidang media sama, Cik Ibrahim yang juga Pengerusi Eksekutif Konsortium Bas Ekspres Mutiara (E-Mutiara) bercadang melebarkan perkhidmatannya ke Singapura dan Thailand.

Katanya, perkhidmatan rentas sempadan itu bertujuan melebarkan perkhidmatan di samping memudahkan penumpang yang hendak ke dua-dua negara jiran itu.

Artikel Berkaitan:

“Mereka tidak lagi perlu transit sebelum ke destinasi akhir. Perkhidmatan itu akan dimulakan sebaik kerajaan memberi kebenaran laluan antara negara” katanya.

Cik Ibrahim berkata perkhidmatan bas rentas sempadan itu juga selaras wawasan syarikat membawa 1.3 juta penumpang ke semua destinasi tahun ini selepas mereka mencatatkan 1 juta penumpang tahun lepas.

Berikutan itu juga katanya, Konsortium E-Mutiara sudah menempah 24 buah bas yang dilengkapi sistem ‘Ecolution’ iaitu satu sistem yang mampu mengawal pelepasan karbon dioksida (CO2) dan empat daripada bas terbabit dijangka diterima bulan ini daripada syarikat Scania.- Bernama