Presiden Brazil diberi sambutan rasmi di Putrajaya

PUTRAJAYA - Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini pada Sabtu bersempena kehadirannya sebagai Tetamu Pengerusi bagi Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Ketibaan Lula da Silva bersama isteri Janja Lula da Silva pada jam 9 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri-Menteri Kabinet.
Istiadat sambutan di Dataran Perdana Putra dimulakan dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara oleh Pusat Pancaragam Rejimen Askar Melayu Diraja.
Presiden Brazil kemudian memeriksa Kawalan Kehormatan Utama (KKU) membabitkan empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat) diketuai Mejar Khairul Azmi Jamingon.
Selesai istiadat berkenaan kedua-dua pemimpin kemudiannya dilihat menaiki kenderaan bersama untuk bergerak ke Kompleks Seri Perdana bagi mengadakan mesyuarat dua hala.
Sebelum ini, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan Lula dijadualkan menghadiri mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri usai istiadat berkenaan di Kompleks Seri Perdana.
Kedua-dua pemimpin dijangka menilai semula perkembangan hubungan dua hala Malaysia-Brazil dan meneroka peluang baharu bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, semikonduktor, sains dan teknologi, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, pertanian, kesihatan serta pendidikan.
Selain itu, kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan isu serantau dan global, antaranya kerjasama di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), BRICS dan ASEAN, COP30 serta Perikatan Global Menentang Kebuluran dan Kemiskinan serta isu Palestin.
Beberapa memorandum persefahaman (MoU) bakal dimeterai meliputi bidang semikonduktor, sains dan inovasi serta kerjasama antara badan pemikir, selain pertukaran nota mengenai latihan diplomatik dan surat hasrat bagi kerjasama mengenai kolaborasi dalam sumber genetik dan bioteknologi.
Pada Ahad, Presiden Brazil akan menghadiri majlis perasmian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan selain menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20 sebelum menghadiri majlis makan malam gala anjuran Anwar dan isteri pada 27 Okt.
Lula juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) pada 25 dan 26 Oktober. -Bernama
Ringkasan AI
- Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra Ketibaan Lula da Silva disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Istiadat sambutan termasuk persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara Presiden Brazil memeriksa Kawalan Kehormatan Utama Kedua-dua pemimpin mengadakan mesyuarat dua hala untuk membincangkan kerjasama dalam pelbagai bidang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
