Terlalu awal buat spekulasi Wan Ahmad Fayhsal sertai Pas - Mohd Amar

KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah melihat masih terlalu awal untuk membuat spekulasi Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal akan menyertai parti itu.
Beliau berkata, hal ini kerana Wan Ahmad Fayhsal bukan dipecat sebaliknya berdepan penggantungan oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
"Penggantungan itu mempunyai tempoh dan Ahli Parlimen Machang boleh kembali semua ke pangkuan parti selepas ia tamat," katanya semasa ditemui pemberita selepas Ceramah Perdana Sempena 70 Tahun Pas di Stadium Sultan Muhammad IV di sini pada malam Jumaat.
Menurut beliau, isu itu sama sekali tidak berbangkit dan Wan Ahmad Fayhsal tidak memaklumkan perkara tersebut.
Ujarnya, Pas tidak mahu mencampuri urusan parti lain dan berharap masalah dalaman Bersatu itu diselesaikan dengan baik.
Mohd Amar memberitahu, tindakan itu bagi memastikan parti berada dalam keadaan harmoni.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian selama satu penggal.
Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dipecat keahlian parti itu berkuatkuasa serta merta.
Lembaga Disiplin Bersatu berkata, selain Wan Saiful, turut dipecat Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail; Ketua Bahagian Ampang, Mohd. Isa Saidi; Ketua Bahagian Pendang, Abdul Razak Khamis dan ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Mohd Azrudin Md Idris.
Media sebelum ini melaporkan Wan Ahmad Fayhsal terbuka dengan cadangan menyertai Pas bagi memperkukuhkan gabungan pembangkang pada peringkat akar umbi.
Beliau tidak menolak cadangan itu ketika menjawab pertanyaan sama ada beliau bersama kumpulan penyokong Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin bersedia menyertai Pas sebagai alternatif jika kemelut kepimpinan dalam parti itu sukar diselesaikan.
Ringkasan AI
- Naib Presiden Pas melihat masih terlalu awal untuk spekulasi Ahli Parlimen Machang akan menyertai Pas
- Wan Ahmad Fayhsal bukan dipecat tetapi berdepan penggantungan oleh Parti Bersatu Malaysia
- Penggantungan mempunyai tempoh dan Ahli Parlimen Machang boleh kembali ke parti setelah ia tamat
- Pas tidak mahu mencampuri urusan parti lain dan berharap masalah dalaman Bersatu diselesaikan dengan baik
- Wan Ahmad Fayhsal terbuka pada cadangan menyertai Pas untuk memperkuatkan gabungan pembangkang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

