Lelaki bunuh isteri di hotel lima bintang

SINGAPURA – Seorang lelaki bertindak kejam membunuh isterinya di sebuah hotel bertaraf lima bintang.
Kejadian menggemparkan di South Bridge Road, Singapura pada Jumaat itu melibatkan pasangan suami isteri warga Indonesia.
Pelaku berusia 41 tahun bertindak membuat laporan di Pusat Polis Kejiranan Bukit Merah pada jam 7.40 pagi dan mengaku perbuatan tersebut.
"Suspek kemudiannya ditahan kerana terbabit dalam kes pembunuhan. Dia akan didakwa pada Sabtu," ujar pihak berkuasa dalam satu kenyataan.
Isterinya yang berusia 38 tahun ditemui terbaring kaku di sebuah bilik di Capri by Fraser China Square berhampiran Chinatown Point dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh anggota paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan tikaman pada mangsa.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan jika disabit bersalah, lelaki berkenaan boleh dihukum mati.
Difahamkan, ia merupakan kejadian pembunuhan kelima yang menggemparkan negara itu setakat ini.
Pada bulan lalu, seorang wanita maut selepas diserang dengan ganas oleh jirannya disebabkan bunyi bising di Yishun Central.
Susulan insiden itu, penyerang lelaki berusia 66 tahun telah berdepan tuduhan membunuh. - Agensi
Ringkasan AI
- Seorang lelaki membunuh isterinya di hotel bertaraf lima bintang di Singapura
- Pasangan suami isteri tersebut adalah warga Indonesia
- Pelaku berusia 41 tahun mengaku perbuatannya di Pusat Polis
- Isteri ditemui mati dengan kesan tikaman
- Pelaku boleh dihukum mati jika disabit bersalah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

