Elak berhimpun, jaga imej negara – KPN

Mohd Khalid pada sidang akhbar sempena persiapan dan raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC pada Khamis.
Mohd Khalid pada sidang akhbar sempena persiapan dan raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menggesa supaya penganjuran perhimpunan bagi membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 tidak diadakan bagi menjaga imej negara dan keselamatan delegasi antarabangsa.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tempoh Sidang Kemuncak ASEAN bukan masa sesuai untuk sebarang perhimpunan kerana semua keutamaan ditumpukan kepada aspek keselamatan dan protokol negara.

“Polis menasihati supaya perhimpunan itu tidak diteruskan kerana kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) diklasifikasikan sebagai zon kawalan keselamatan dan menjadi tumpuan utama delegasi luar negara.

“Penganjuran seperti itu tidak sesuai ketika Malaysia menjadi tuan rumah kerana boleh menjejaskan imej negara serta mengganggu kelancaran sidang,” katanya dalam sidang akhbar sempena persiapan dan raptai Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di KLCC pada Khamis.

 

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini adalah acara kemuncak bagi Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini bertemakan 'Keterangkuman dan Kemampanan'.

 

Persidangan kali ini juga dijangka menjadi penganjuran terbesar sejak edisi pertamanya pada tahun 1976.

Mohd Khalid berkata, pihaknya sudah menjalankan sesi libat urus dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang menyatakan hasrat untuk berhimpun bagi menyampaikan bantahan.

Artikel Berkaitan:

“PDRM menasihatkan supaya ia tidak diadakan di kawasan KLCC. Sekiranya mereka masih berhasrat untuk berhimpun, kita mencadangkan supaya lokasi dialihkan ke kawasan lebih sesuai seperti Padang Merbok,” ujarnya.

Menurutnya, perhimpunan besar di sekitar KLCC boleh menjejaskan kawalan keselamatan serta mengganggu pergerakan konvoi dan urusan protokol delegasi antarabangsa yang menghadiri sidang berkenaan.

“Kita bukan menghalang hak berhimpun, tetapi meminta kerjasama semua pihak supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan sepanjang tempoh Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung,” katanya.

Beliau menegaskan, polis menghormati hak berhimpun seperti termaktub dalam Akta Perhimpunan Aman 2012, namun ia perlu dilaksanakan secara tertib tanpa menjejaskan keselamatan awam.

“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan perhimpunan di kawasan larangan.

“PDRM juga menasihatkan orang ramai supaya tidak termakan provokasi atau ajakan untuk menyertai sebarang perhimpunan tanpa kebenaran,” katanya lagi.

Ringkasan AI

  • Polis menggesa perhimpunan bantah kehadiran Donald Trump pada Sidang Kemuncak ASEAN di KLCC tidak diadakan demi keselamatan
  • Ketua Polis Nasional menekankan keutamaan pada keselamatan dan protokol negara, bukan masa sesuai untuk perhimpunan
  • KLCC diklasifikasikan sebagai zon kawalan keselamatan, perhimpunan bisa menjejaskan imej negara dan ganggu sidang
  • Polis telah libat urus dengan NGO dan menyarankan perhimpunan dialihkan ke lokasi lain seperti Padang Merbok
  • Polis menghormati hak berhimpun tetapi meminta kerjasama agar tiada perhimpunan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!