Liverpool mengganas, Frankfurt tak sempat bernafas

Van Dijk ketuai kebangkitan Liverpool di Frankfurt pada Khamis. Foto AGENSI
Van Dijk ketuai kebangkitan Liverpool di Frankfurt pada Khamis. Foto AGENSI
A
A
A

GERGASI Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool akhirnya melepaskan geram selepas empat kekalahan berturut-turut apabila berpesta gol menumpaskan Eintracht Frankfurt 5-1 dalam saingan Liga Juara-Juara di Deutsche Bank Park, Frankfurt pada Khamis.

Skuad bimbingan Arne Slot itu bagaimanapun terlebih dahulu dikejutkan pada minit ke-26 apabila rembatan Rasmus Kristensen menewaskan penjaga gol Giorgi Mamardashvili untuk membuka tirai jaringan buat Die Adler.

Namun, kelebihan gergasi Bundesliga Jerman bimbingan Dino Toppmöller itu tidak bertahan lama apabila Hugo Ekitike menyamakan kedudukan sembilan minit kemudian hasil serangan balas pantas.

Penyerang muda itu bijak membaca hantaran jauh Andy Robertson sebelum tenang menolak bola menewaskan penjaga gol Michael Zetterer, yang juga bekas rakan sepasukannya sebelum ini.

Gol Ekitike itu ternyata menyala kebangkitan The Reds apabila segalanya berubah dalam tempoh sembilan minit penuh magis menyaksikan benteng Frankfurt runtuh satu demi satu.

Kapten Virgil van Dijk meledak gol kedua menerusi tandukan hasil sepakan sudut pada minit ke-38, disusuli jaringan Ibrahima Konaté enam minit kemudian yang menambah derita tuan rumah.

Separuh masa kedua terus menyaksikan penguasaan mutlak The Reds apabila Cody Gakpo dan Dominik Szoboszlai masing-masing menambah satu gol lagi menjadikan Frankfurt mimpi ngeri buat kelab Jerman itu.

Kemenangan besar itu bukan sekadar menamatkan kemarau kemenangan, malah menjadi tonik semangat penting buat juara EPL musim lalu yang sebelum ini tewas empat perlawanan berturut-turut buat kali pertama sejak November 2014.

Liverpool selepas ini akan berdepan Brentford dalam perlawanan EPL di Stadium Komuniti Gtech pada Ahad sebelum menerima kunjungan Crystal Palace bagi aksi Pusingan Keempat Piala Liga pada 30 Oktober.

Artikel Berkaitan:

LIGA JUARA-JUARA

Keputusan

Athletic Bilbao 3-1 Qarabag FK

Galatasary 3-1 Bodo/Glimt

Chelsea 5-1 Ajax Amsterdam

Real Madrid 1-0 Juventus

Sporting Lisbon 2-1 Marseille

AS Monaco 0-0 Tottenham Hotspur

Atalanta 0-0 Slavia Prague

Eintracht Frankfurt 1-5 Liverpool

Bayern Munich 4-0 Club Brugge

Ringkasan AI

  • Liverpool menewaskan Eintracht Frankfurt 5-1 dalam Liga Juara-Juara
  • Eintracht Frankfurt membuka skor tetapi Liverpool membalas dengan lima gol
  • Hugo Ekitike menyamakan kedudukan untuk Liverpool
  • Gol daripada Virgil van Dijk dan Ibrahima Konate menambah derita Eintracht Frankfurt
  • Kemenangan ini sebagai pemulihan semangat Liverpool setelah empat kekalahan berturut-turut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!