Semak harga siling BPT lindungi pesawah, jamin bekalan makanan negara - Mahfuz

ALOR SETAR –Tindakan kerajaan menyemak semula harga siling beras putih tempatan (BPT) adalah langkah tepat demi melindungi pesawah dan menjamin kestabilan bekalan makanan negara.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendesak kerajaan menaikkan harga siling beras menunjukkan pengiktirafan bahawa harga semasa tidak lagi mencerminkan kos sebenar pengeluaran padi dan beras.
Menurut Mahfuz, beliau berharap usaha kerajaan yang bakal menstrukturkan semula harga tersebut tidak menimbulkan polemik bahawa kerajaan zalim menaikkan harga beras.
“Kalau benar perjuangkan petani, jangan menyalak bila kerajaan betulkan harga,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Tegasnya, kerajaan kini berusaha menyeimbangkan dua kepentingan utama iaitu memastikan pesawah tidak terus terbeban dengan harga padi yang rendah, dan melindungi pengguna daripada manipulasi pasaran serta kenaikan harga yang tidak munasabah.
Mahfuz turut mencadangkan agar kerajaan menetapkan hanya satu gred beras putih tanpa membezakan antara beras tempatan dan import, dengan harga siling baharu yang munasabah untuk semua pihak dalam rantaian bekalan.
“Langkah ini bukan sahaja mampu mengelak manipulasi oleh pengilang dan pihak lain, tetapi juga menjamin ketelusan pasaran serta kestabilan bekalan untuk jangka panjang,” katanya.
Tambahnya, penurunan harga beras putih import di pasaran antarabangsa turut menjadi faktor penting dalam penetapan harga baharu yang lebih adil.
“Kerajaan sudah boleh menetapkan harga baharu beras putih tempatan bersama dengan harga beras putih import kerana pembangkang tidak lagi membantah.
"Kepada pembangkang, ingat apa yang kamu cakap, jangan hari ini jadi juara pesawah, esok jadi penghasut rakyat,” ujarnya lagi.
Sebelum ini Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, kerajaan harus mencari mekanisme terbaik untuk menaikkan harga siling untuk BPT di Malaysia.
Menurutnya, harga RM2.60 yang diperkenal sejak 2008 perlu dilihat kembali kerana ia turut melibatkan isu keselamatan makanan negara.
Ringkasan AI
- Kerajaan menyemak semula harga siling beras putih tempatan adalah langkah tepat demi melindungi pesawah dan menjamin kestabilan bekalan makanan negara
- Usaha kerajaan menstrukturkan semula harga beras diharap tidak menimbulkan polemik kerajaan zalim menaikkan harga
- Kerajaan berusaha menyeimbangkan kepentingan pesawah dan pengguna melindungi dari manipulasi pasaran serta kenaikan harga yang tidak munasabah
- Cadangan menetapkan satu gred beras putih tanpa beza antara tempatan dan import untuk ketelusan dan kestabilan pasaran
- Penurunan harga beras putih import di pasaran antarabangsa menjadi faktor penetapan harga baharu yang lebih adil
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

