Amanah sedia suarakan bantahan terhadap dasar Amerika sokong Israel

Raja Bahrin (kanan) ketika Majlis Pelancaran buku Politik Bukan Akidah di Kuala Terengganu pada Selasa.
Raja Bahrin (kanan) ketika Majlis Pelancaran buku Politik Bukan Akidah di Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Parti Amanah Negara (Amanah) sedia tampil menyuarakan bantahan terhadap dasar Amerika Syarikat (AS) yang terus menyokong Israel.

Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, perkara itu akan dinyatakan susulan lawatan rasmi Presiden AS, Donald Trump ke Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu depan.

Menurutnya, pihaknya bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mengadakan perhimpunan aman Ahad ini sebagai mesej jelas rakyat Malaysia terhadap dasar luar AS yang dilihat berat sebelah dalam konflik Palestin-Israel.

"Lawatan Trump ini membuka ruang terbaik untuk rakyat Malaysia menunjukkan pendirian tegas terhadap kekejaman rejim Zionis.

"Kami akan bertindak sebagai 'backbencher' rakyat bagi menyuarakan keluhan hati mereka supaya Amerika Syarikat tidak lagi menjadi sumber utama membekalkan senjata kepada Israel," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku Politik Bukan Akidah di sini pada Selasa.

Beliau berkata, walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Trump atas kapasiti rasmi sebagai Pengerusi ASEAN dan pemimpin Malaysia, Amanah berpandangan rakyat wajar mengambil peluang itu untuk menyatakan bantahan terhadap dasar AS yang jelas menyebelahi Israel.

"Kita faham tanggungjawab beliau sebagai tuan rumah ASEAN, tetapi rakyat juga berhak menyatakan pendirian terhadap kuasa besar yang menindas umat Palestin," katanya.

Beliau turut menegaskan, Amanah juga tidak akan berdiam diri apabila negara-negara Barat terus mengamalkan sikap hipokrit terhadap isu kemanusiaan di Timur Tengah.

"Ini bukan soal politik semata-mata tetapi soal kemanusiaan. Malaysia perlu terus memainkan peranan aktif menyuarakan keadilan buat rakyat Palestin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Trump secara terbuka menyebut rancangan lawatan beliau ke Malaysia dan Jepun namun tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai butiran lawatan itu.

Sumber kerajaan Jepun memaklumkan Trump dijangka mengadakan lawatan tiga hari ke Jepun mulai 27 Oktober selepas menghadiri persidangan serantau di Malaysia yang turut disertai negara-negara Asia Tenggara dan rakan-rakan sekutunya.

Selepas lawatan ke Jepun, Trump akan meneruskan perjalanan ke Korea Selatan, menurut sumber berkenaan.

Lawatan Asia yang bakal berlangsung ini merupakan yang pertama sejak beliau memulakan penggal kedua sebagai presiden pada Januari lalu.

 

Ringkasan AI

  • Parti Amanah Negara bersedia menyuarakan bantahan terhadap dasar AS yang menyokong Israel
  • Raja Kamarul Bahrin mengatakan perhimpunan aman akan diadakan sebagai mesej jelas rakyat Malaysia
  • Tujuan perhimpunan adalah untuk memprotes kekejaman rejim Zionis selama lawatan Presiden Trump
  • Amanah menegaskan bahawa rakyat Malaysia berhak menyatakan pendirian terhadap dasar luar AS yang menyebelahi Israel
  • Kekejaman terhadap Palestin dilihat sebagai isu kemanusiaan yang perlu disuarakan oleh Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!