SJR Ops Covid-19 bongkar kes dadah, pistol

Antara rampasan dadah yang dibuat susulan penahanan suspek lelaki warga Indonesia semalam.
Antara rampasan dadah yang dibuat susulan penahanan suspek lelaki warga Indonesia semalam.
A
A
A

SEPANG - Polis membongkar kegiatan penyalahgunaan dadah dengan penahanan seorang lelaki dalam sekatan jalan raya (SJR) Ops Covid-19 di Jalan Nilai-Labohan Dagang di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Asisten Komisioner Zulkifli Adamsah berkata, tangkapan dibuat kira-kira jam 5.30 pagi selepas mengesan lelaki berusia 24 tahun yang memandu kereta Honda Civic dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui satu straw lut sinar mengandungi serbuk kristal seberat 1.01 gram dan setengah biji pil disyaki dadah syabu selain peralatan menghisap dadah.

Polis merampas empat pistol susulan penahanan suspek lelaki warga Indonesia semalam.
Polis merampas empat pistol susulan penahanan suspek lelaki warga Indonesia semalam.

"Hasil soal siasat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA menyerbu sebuah rumah di Jalan Masjid Kampung Labohan Dagang, Banting kira-kira jam 1.15 petang.

"Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki Indonesia berjaya ditahan manakala 490 gram ganja, syabu (74.52 gram) serta empat pistol dirampas," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Susulan penemuan empat pistol terbabit, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, empat pistol itu disembunyikan di bawah pintu bilik dan dalam tin yang tertanam di lantai bilik tersebut.

"Hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki Indonesia berusia 41 tahun disahkan positif methamphetamine.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini direman tujuh hari dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971," katanya.