Lelaki cuba bantu wanita ditikam masih dirawat di hospital - Polis

JOHOR BAHRU - Seorang daripada dua mangsa yang cedera ketika cuba menghalang seorang lelaki warga Myanmar daripada menikam dan mengelar kekasihnya, dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun itu juga telah selamat menjalani pembedahan atas kecederaan yang dialami.
“Keadaan mangsa dilaporkan agak lemah, tetapi stabil dan buat masa ini masih ditahan di wad setelah menjalani pembedahan.
“Selain itu, seorang lagi mangsa wanita berusia 23 tahun pula dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.
“Mangsa didapati hanya luka di bahagian jari dan menerima rawatan sebagai pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam kejadian jam 7.40 malam pada Isnin, sepasang kekasih warga Myanmar ditemukan maut dengan kesan tikaman dan kelar pada bahagian badan masing-masing di Taman Austin Height .
Kejadian itu dilaporkan berlaku di laluan hostel pekerja dan melibatkan pasangan kekasih terbabit.
Sementara itu Raub berkata, suspek yang dipercayai teman lelaki mangsa turut ditemui maut di lokasi sama.
Bagaimanapun, suspek dipercayai maut selepas mencederakan diri sendiri.
Ringkasan AI
- Seorang mangsa cedera ketika cuba menghalang keganasan dilaporkan stabil dan dirawat di Hospital Sultan Ismail
- Mangsa yang berusia 27 tahun itu telah menjalani pembedahan
- Seorang lagi mangsa wanita berusia 23 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius
- Sepasang kekasih warga Myanmar ditemukan maut di Taman Austin Height
- Suspek dipercayai membunuh diri selepas kejadian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
