Polis buru suspek samun wanita guna gunting

Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof. -Foto Sumber Internet
Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof. -Foto Sumber Internet
A
A
A

KAJANG - Polis sedang memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes samun di sebuah kedai minuman di Bandar Sungai Long di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, lelaki terbabit warga tempatan dikenali sebagai Chew Kian Foong, 36, beralamat terakhir di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan, Kuala Lumpur.

Katanya, ia susulan polis menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa dia disamun pada jam 5.26 petang.

“Menurut keterangan mangsa, dia disamun seorang lelaki bersenjatakan gunting ketika berada di hadapan kaunter kedai berkenaan sebelum suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Wira.

"Mangsa dilaporkan kehilangan telefon bimbit, wang tunai dan dokumen pengenalan diri dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintendan Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108," katanya.

Artikel Berkaitan: