SPRM contohi Denmark, Norway perkukuh pendidikan antirasuah akar umbi

SPRM perkukuh pendidikan antirasuah di peringkat akar umbi dengan mencontohi pendekatan Denmark dan Norway, fokus bentuk belia berintegriti ke arah Malaysia bebas rasuah.
SPRM perkukuh pendidikan antirasuah di peringkat akar umbi dengan mencontohi pendekatan Denmark dan Norway, fokus bentuk belia berintegriti ke arah Malaysia bebas rasuah.
A
A
A

KOTA BHARU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkukuh pendekatan pendidikan antirasuah di peringkat akar umbi dengan mencontohi strategi negara yang mencatat skor tinggi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) seperti Denmark dan Norway.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Ahmad Nizam Ismail berkata, pendekatan turun ke peringkat akar umbi bukan kerana golongan belia mudah terdedah kepada gejala rasuah, sebaliknya bagi menyemai nilai integriti dalam kalangan generasi muda yang merupakan aset masa depan negara.

"Usaha mendekati masyarakat ini merupakan pendekatan pendidikan pencegahan yang menekankan pembentukan karakter, bukan sekadar memberi penerangan tentang kesalahan rasuah.

"Negara seperti Denmark dan Norway yang mencatat skor CPI tertinggi memulakan pendidikan integriti sejak di peringkat akar umbi. Jadi, kita mahu mencontohi pendekatan itu bukan hanya bercakap tentang rasuah, tetapi menyuburkan nilai-nilai murni dalam diri rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Unleash Urself @ Rakan Muda (Dikir Barat) Peringkat Negeri Kelantan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kelantan, di sini malam tadi.

Ahmad Nizam berkata, SPRM mahu memastikan generasi muda Malaysia dibentuk dengan nilai moral dan sahsiah tinggi agar mereka menjadi kelompok masyarakat berintegriti yang mampu memacu kemajuan negara.

"Ada yang beranggapan SPRM turun ke akar umbi kerana golongan ini mudah terdedah kepada rasuah, namun tanggapan itu tidak tepat. Belia ialah aset negara dan kita mahu mereka membesar dengan nilai integriti, kejujuran serta tidak mengambil hak orang lain.

"Langkah mendidik masyarakat melalui pendekatan pendidikan nilai ini juga selari dengan pelancaran inisiatif Keep Malaysia Clean oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Oktober lepas, bersempena sambutan ulang tahun ke-58 SPRM,” katanya.

Menurut beliau, matlamat jangka panjang SPRM ialah menjadikan Malaysia antara 25 negara terbaik dunia dalam CPI dengan memupuk kesedaran integriti di semua peringkat masyarakat, bermula dari akar umbi.

Sementara itu, beliau berkata, program berunsur seni budaya seperti dikir barat juga dilihat sebagai medium berkesan untuk menyatukan masyarakat serta menyampaikan mesej antirasuah secara kreatif.

Artikel Berkaitan:

"SPRM bercadang untuk mengangkat seni budaya ini ke peringkat yang lebih tinggi, bukan sahaja di Kelantan tetapi juga di peringkat kebangsaan,” katanya. - Bernama

Ringkasan AI

  • SPRM memperkukuh pendidikan antirasuah dengan mencontohi Denmark dan Norway
  • Pendekatan mendidik generasi muda dibuat untuk menyemai nilai integriti, bukan hanya memberi maklumat tentang rasuah
  • Program ini dijalankan bukan kerana golongan muda mudah terdedah kepada rasuah, tetapi sebagai aset masa depan negara
  • Langkah ini selaras dengan pelancaran inisiatif Keep Malaysia Clean oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Matlamat SPRM ialah menjadikan Malaysia antara 25 negara terbaik dunia dalam CPI dengan meningkatkan kesedaran integriti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!