Remaja lemas semasa mandi di Rimba Rekreasi Lubuk Kawah

YAN – Kegembiraan sekumpulan remaja mandi-manda di kawasan air terjun bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemukan lemas dalam kejadian di Geo Park Sungai Teroi, Rimba Rekreasi Lubuk Kawah di sini pada petang Ahad.
Mangsa, Mohd Zareef Adam Ramli, 16, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) selepas ditemukan pasukan penyelamat kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang.
Menurut Komander Operasi, Mohd Farid Mohd Razali, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.18 petang memaklumkan kejadian lemas melibatkan seorang remaja lelaki.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan digerakkan ke lokasi dengan kekuatan 13 anggota bersama sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan kenderaan utiliti,” katanya pada Ahad.
Jelas Mohd Farid, semasa di lokasi, dimaklumkan bahawa mangsa dipercayai lemas ketika mandi bersama rakan-rakan di kawasan rekreasi berkenaan.
Menurutnya, pasukan penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan kaedah pencarian permukaan serta meredah aliran sungai di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa berjaya ditemukan pada jam 8.40 malam dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai KKM yang berada di lokasi. Jenazah kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya lagi.
Operasi dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), KKM serta penduduk setempat ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.35 malam.
Ringkasan AI
- Kegembiraan remaja mandi-manda di Geo Park Sungai Teroi bertukar tragedi dengan kematian seorang remaja
- Mohd Zareef Adam Ramli, 16, disahkan meninggal dunia selepas ditemukan lemas
- Pasukan penyelamat menerima panggilan kecemasan dan digerakkan ke lokasi
- Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan kaedah pencarian permukaan
- Operasi ditamatkan pada jam 9.35 malam dengan kerjasama pelbagai agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

