Sumbat penumpang bot macam 'sardin'

Maritim Selangor melaksanakan pemeriksaan penumpang sebuah bot di perairan Tanjung Harapan, Klang pada Sabtu. Foto Maritim Selangor
Maritim Selangor melaksanakan pemeriksaan penumpang sebuah bot di perairan Tanjung Harapan, Klang pada Sabtu. Foto Maritim Selangor
A
A
A

KLANG - Bot membawa penumpang melebihi kapasiti ditetapkan ditahan di kedudukan 0.24 batu nautika barat daya Tanjung Harapan di sini pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, rondaan Op Ehsan, Op Tiris dan Op Murni yang dijalankan kira-kira jam 2.50 petang itu mendapati bot berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke Pulau Ketam dari Jeti Awan, Pelabuhan Klang.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh dua warga tempatan berusia 27 dan 24 tahun yang masing-masing berperanan sebagai nakhoda dan kru.

“Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen operasi mendapati bot berkenaan melanggar syarat lesen dengan membawa lebihan penumpang serta menggunakan alat pemadam api yang telah tamat tempoh.

“Selain itu, seorang penumpang lelaki warga Myanmar berusia 41 tahun turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, bot, dua kru dan penumpang warga asing itu telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, pengusaha bot penumpang perlu mematuhi semua syarat keselamatan dan peraturan operasi bagi mengelakkan tindakan undang-undang serta memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.

“Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO 1952) kerana melanggar syarat sah lesen operasi, manakala penumpang warga asing tersebut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.

Tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuai dan mengabaikan keselamatan awam di laut.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan atau insiden kecemasan di laut boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya.

Ringkasan AI

  • Bot membawa penumpang melebihi kapasiti ditahan berhampiran Tanjung Harapan
  • Bot dalam perjalanan ke Pulau Ketam dari Jeti Awan, Pelabuhan Klang
  • Dua warga tempatan berusia 27 dan 24 tahun sebagai nakhoda dan kru
  • Melanggar syarat lesen operasi dan menggunakan alat pemadam api tamat tempoh
  • Penumpang warga Myanmar ditahan kerana tiada dokumen pengenalan diri sah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!