Kos haji 2026 diumum Rabu ini, dijamin tidak bebankan bakal jemaah - Menteri Agama

Mohd Na’im ketika Majlis Perasmian Kampung Angkat MABIMS yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Masjid Tanah pada Sabtu.
Mohd Na’im ketika Majlis Perasmian Kampung Angkat MABIMS yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kampung Pulau, Masjid Tanah, Masjid Tanah pada Sabtu.
A
A
A

ALOR GAJAH - Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengumumkan kadar rasmi kos menunaikan ibadah haji bagi musim 2026 pada Rabu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pengumuman itu penting bagi membolehkan proses pengeluaran surat tawaran kepada bakal jemaah dilaksanakan sebaik sahaja kadar kos sebenar dimuktamadkan.

Menurutnya, kos berkenaan dijamin tidak akan membebankan bakal jemaah haji pada tahun hadapan untuk menunaikan rukum Islam kelima itu.

"Insya-ALLAH pada 22 hari bulan ini Tabung Haji akan umumkan kos haji tahun 2026.

"Kita tengoklah sama ada kekal, naik atau turun, bila dah ada kos sebenar, barulah surat tawaran haji boleh dikeluarkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kampung Angkat Menteri-menteri Agama Brunei, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kampung Pulau, Masjid Tanah di sini pada Sabtu.

Mohd Na’im berkata, pengeluaran surat tawaran diharap dapat dilakukan segera selepas pengumuman rasmi yang dilakukan Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain supaya bakal jemaah mempunyai masa mencukupi untuk membuat persiapan fizikal serta kewangan.

Katanya, TH juga sedang mengambil langkah agresif bagi mengurangkan kadar penolakan tawaran haji yang sebelum ini mencatatkan peningkatan pada musim 2025.

Jelasnya, ini termasuk menghubungi semula individu yang tersenarai dalam giliran haji tetapi tidak dapat dikesan pada musim lalu, bagi memastikan maklumat mereka dikemas kini dan kesediaan menunaikan haji dapat dipastikan.

Artikel Berkaitan:

"Saya dimaklumkan oleh Tan Sri Pengerusi Tabung Haji bahawa tahun ini kita menjangkakan kadar penolakan akan berkurangan.

"Tahun lepas agak ramai menolak tawaran, jadi kali ini TH mengambil inisiatif mengenal pasti lebih awal bakal jemaah mengikut giliran 2026," ujarnya.

Ringkasan AI

  • TH akan umumkan kadar rasmi kos haji untuk tahun 2026 pada Rabu ini
  • Kadar kos dijamin tidak membebankan bakal jemaah haji tahun hadapan
  • Surat tawaran haji akan dikeluarkan sebaik sahaja kadar kos dimuktamadkan
  • Langkah agresif diambil untuk mengurangkan kadar penolakan tawaran haji yang meningkat pada musim 2025
  • Inisiatif menghubungi semula individu tertinggal bagi memastikan maklumat terkini dan kesediaan haji

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!