Pulang mayat selesai - Hamas

Staf rumah mayat memindahkan kumpulan mayat yang dikembalikan Israel ke Hospital Nasser, Khan Yunis di selatan Gaza pada Rabu.
Staf rumah mayat memindahkan kumpulan mayat yang dikembalikan Israel ke Hospital Nasser, Khan Yunis di selatan Gaza pada Rabu.
A
A
A

GENTING GAZA - Hamas mengesahkan ia telah menyerahkan kesemua baki mayat tawanan termasuk yang tertimbus di bawah runtuhan struktur di Genting Gaza.

Pengumuman itu dibuat selepas Israel mengancam mahu melancarkan semula kempen pengeboman ke atas wilayah itu jika gerakan tersebut gagal mematuhi kandungan perjanjian damai.

Menteri Keselamatan, Itamar Ben-Gvir juga mengugut mahu menghentikan aliran bantuan kemanusiaan ke Gaza jika Hamas gagal memulangkan kesemua mayat.

Sayap tentera Hamas, Briged al-Qassam memaklumkan sebanyak sembilan daripada 28 jasad telah dikembalikan kepada Israel manakala baki 19 lagi tidak dapat dipulangkan.

“Israel berterusan mendesak kami untuk mengeluarkan mayat di celah timbunan sisa konkrit. Peralatan khas diperlukan untuk operasi sedemikian yang pastinya mustahil untuk diperoleh.

“Kami sudah mematuhi syarat yang dipersetujui di bawah pelan damai itu dengan menyerahkan kesemua tawanan masih hidup dan mayat yang boleh diakses dalam tempoh 72 jam,” tegas jurucakapnya pada Rabu.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Palestin memberitahu kumpulan kedua terdiri daripada 45 mayat penduduk Palestin telah dikembalikan kepada pihak berkuasa Gaza.

“Secara total, sebanyak 90 jasad dalam keadaan menyayat hati sudah dipulangkan. Tangan dan kaki digari serta tubuh mereka ditanda dengan nombor.

“Pasukan perubatan menguruskan kesemua mayat itu mengikut prosedur ditetapkan termasuk menjalankan pemeriksaan dan proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada waris keluarga masing-masing,” jelas kementerian itu.

Artikel Berkaitan:

Portal berita Middle East Eye melaporkan sebahagian jasad tersebut menunjukkan bukti berlaku penyeksaan teruk dan menjadi mangsa rempuhan kereta kebal Zionis.

“Kakitangan perubatan di Hospital Nasser, Khan Yunis yang menerima kesemua jasad tersebut melalui Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mendedahkan ada yang dibunuh kejam, badan dalam keadaan mereput, patah tulang dan anggota tubuh tidak sempurna,” ujar laporan itu lagi. - Agensi

Ringkasan AI

  • Hamas mengesahkan penyerahan kesemua baki mayat tawanan termasuk yang di bawah runtuhan di Genting Gaza
  • Israel mengancam akan melancarkan kempen pengeboman jika Hamas tidak mematuhi perjanjian damai
  • Itamar Ben-Gvir mengugut akan menghentikan bantuan kemanusiaan ke Gaza jika mayat tidak dipulangkan
  • Sembilan dari 28 jasad telah dikembalikan kepada Israel, 19 lagi tidak dapat dipulangkan
  • Kementerian Kesihatan Palestin telah mengembalikan 45 mayat kepada pihak berkuasa Gaza, total jasad yang dipulangkan mencapai 90

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!