X

Kindly register in order to view this article
!

Pastikan orang asli tidak terputus bekalan makanan

Ramli menyerahkan sumbangan kepada Setiausaha Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), Mazlan Mohamed Isa bagi membantu penguat kuasa MDCH yang terpaksa bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.
A
A

KUANTAN - Kebajikan masyarakat orang asli di pedalaman Cameron Highlands tidak akan dipinggirkan termasuk tidak terputus bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JaKOA) Pahang bagi memastikan kebajikan masyarakat berkenaan terjaga sepanjang tempoh terlibat.

Ini kerana katanya, arahan dikeluarkan kerajaan itu telah mengehadkan aktiviti seharian mereka dan dikhuatiri menyebabkan mereka tidak mendapat keperluan sewajarnya.

"Perkara ini saya sudah sampaikan kepada Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan JaKOA Pahang agar mempertimbangkan bantuan barang keperluan dan makanan kepada mereka (orang asli).

"Kedua-dua pihak memberi maklum balas positif untuk mengaturkan penyaluran bantuan ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ramli berkata, masyarakat orang asli di pedalaman Cameron Highlands juga mendapat maklumat sewajarnya berhubung Perintah Kawalan Pergerakan.

Beliau berkata, di samping akur dengan mengehadkan aktiviti seharian mereka, masyarakat berkenaan juga turut melaksanakan langkah pencegahan sewajarnya.

"Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dalam kalangan masyarakat orang asli yang berada di perkampungan terlibat diminta membantu membuat kawalan agar semua penduduk tidak berkumpul," katanya.

Ramli berkata, pihaknya turut membuat pemakluman berhubung perkara itu supaya segala maklumat sampai kepada masyarakat tersebut.

"Sekarang zaman teknologi, segala maklumat dapat disampaikan dengan mudah hanya melalui telefon," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ramli berkata, beliau turut prihatin dengan petugas barisan hadapan bagi Parlimen Cameron Highlands yang terpaksa bertugas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.