Mahu dapat hadiah berlian tapi rugi lebih RM500,000

Seorang pesara swasta kerugian RM535,758 akibat terperdaya penipuan hadiah berlian. Gambar hiasan
Seorang pesara swasta kerugian RM535,758 akibat terperdaya penipuan hadiah berlian. Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang pesara swasta terperdaya dengan penipuan tawaran hadiah berlian daripada sebuah syarikat hingga menyebabkan kerugian RM535,758.

Kejadian itu bermula apabila wanita berusia 65 tahun dari Rompin itu dikatakan menerima panggilan telefon daripada individu yang mengaku sebagai wakil kepada syarikat terbabit pada 1 September lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, individu tersebut memaklumkan bahawa mangsa telah memenangi tempat kedua dalam jamuan penghargaan pelanggan syarikat berkenaan.

Menurutnya, mangsa kemudian ditawarkan hadiah berupa berlian dan diberi pilihan untuk menukarkannya kepada wang tunai sebanyak RM205,000.

"Mangsa bersetuju dan diminta membuat bayaran deposit sebanyak RM6,150 kononnya bagi tujuan penebusan hadiah tersebut.

"Seterusnya mangsa telah membuat dua kali transaksi ke akaun yang diberikan oleh suspek," katanya pada Selasa.

Yahaya memberitahu, suspek terus memperdayakan mangsa dengan pelbagai alasan supaya membuat bayaran tambahan.

Jelasnya, bermula dari 3 September hingga 9 Oktober lalu, mangsa telah melakukan 30 transaksi ke 13 akaun berbeza, melibatkan jumlah keseluruhan RM535,758.

"Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu setelah tidak menerima sebarang hadiah atau wang tunai seperti dijanjikan.

Artikel Berkaitan:

"Kerugian yang dialami mangsa melibatkan wang simpanan dan pinjaman daripada ahli keluarga," katanya.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang tawaran hadiah atau pulangan yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Tegasnya, sebelum melakukan sebarang transaksi, semakan awal boleh dibuat di portal rasmi https://semakmule.rmp.gov.my bagi mengenal pasti akaun bank yang mempunyai rekod penipuan.

"Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.

Ringkasan AI

  • Pesara swasta kerugian RM535,758 terperdaya penipuan hadiah berlian
  • Mula diperdaya selepas terima panggilan menang hadiah daripada syarikat pada 1 September
  • Mangsa ditawarkan berlian atau wang tunai RM205,000 sebagai hadiah
  • Terlibat dalam 30 transaksi ke 13 akaun berbeza dari 3 September hingga 9 Oktober
  • Kerugian termasuk wang simpanan dan pinjaman dari ahli keluarga

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!