Lelaki dicekup ketika cuba ceroboh rumah ikut bumbung

Tangkap layar rakaman video penduduk cubaan lelaki menceroboh masuk sebuah rumah di Jalan Kebun, Shah Alam pada Isnin.
Tangkap layar rakaman video penduduk cubaan lelaki menceroboh masuk sebuah rumah di Jalan Kebun, Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Cubaan seorang lelaki warga Indonesia memecah masuk sebuah rumah di Jalan Kebun, Seksyen 30 di sini dengan taktik memanjat bumbung gagal selepas disedari penghuninya pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam telah menerima panggilan pada jam 6.32 pagi daripada orang awam yang memaklumkan kejadian tersebut.

Menurutnya, anggota polis dari unit kereta peronda (MPV) kemudian bergegas ke lokasi kejadian.

“Seorang suspek lelaki warga Indonesia berusia 38 tahun telah diserahkan kepada polis kerana dipercayai cuba memecah masuk ke dalam sebuah rumah penduduk di kawasan tersebut.

“Suspek yang tidak bekerja itu cuba memecah masuk ke dalam rumah dengan cara memanjat ke atas bumbung, namun perbuatannya disedari tuan rumah setelah mendengar bunyi pergerakan di atas bumbung kediamannya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk masuk ke Malaysia.

Jelasnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian boleh menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Aznor Zainal di talian 017-3989155.

Terdahulu, tular satu paparan video di grup Facebook penduduk yang memaparkan seorang lelaki berada di atas bumbung sebuah kediaman.

Video berkenaan turut menunjukkan suspek enggan turun dan tidak memberi kerjasama kepada penduduk.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Cubaan seorang warga Indonesia memecah masuk rumah di Shah Alam gagal apabila penghuni menyedarinya
  • Polis Shah Alam menerima laporan kejadian pada jam 6.32 pagi
  • Anggota polis dari unit kereta peronda bergegas ke lokasi kejadian
  • Lelaki berusia 38 tahun itu cuba memecah masuk melalui bumbung
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!