Najib tanya kaunter claim duit minyak PH kat mana?

Paparan Facebook Najib.
Paparan Facebook Najib.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kontroversi demi kontroversi melanda kepimpinan PH kelihatan ibarat ‘bola tanggung’ buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berterusan menyindir kerajaan.

Terbaru, dalam laman Facebook beliau, Najib memuat naik status ringkas berserta gambarnya menunggang motosikal. Biarpun ringkas, lebih 22,000 pengguna Facebook menyukai status tersebut dalam masa tidak sampai satu jam.

“Kaunter claim (tuntut) duit minyak Pakatan Harapan kat mana?” tulisnya ringkas.

Ternyata, status ringkas, bersahaja dan tersirat sindiran seribu makna sebegitu mendapat reaksi lebih hebat berbanding status panjang lebar yang pernah dimuat naik Ahli Parlimen Pekan itu.

Bagi yang cakna senario politik negara, ibarat ‘sekilas ikan di air, sudah diduga jantan betinanya’ bila membaca status beliau.

Pastinya, Najib menulis sedemikian sebagai sindiran berkaitan dakwaan berlakunya amalan politik wang di PRK Cameron Highlands selepas tersebar gambar seorang wanita memakai baju PH sedang mengagihkan wang kepada beberapa lelaki.

Isu tersebut menjadi buah mulut dan hangat dibincangkan di laman sosial sementelah PH sebelum ini begitu lantang menentang amalan politik wang terutamanya semasa dalam kempen pilihan raya.

Begitupun, PH menegaskan wang diagihkan dalam gambar yang tular di media sosial merupakan pembayaran balik penampungan kos petrol kepada sukarelawan-sukarelawan mereka.

Artikel Berkaitan:

Penjelasan sebegitu nampaknya tidak sedikit pun merencatkan hasrat Najib daripada terus menyindir insiden tersebut dan ternyata sindiran kali ini sekali lagi mencuit hati netizen.