KPM rakam takziah atas kematian calon SPM di Negeri Sembilan

PUTRAJAYA — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditemukan meninggal dunia di sebuah rumah di Kuala Klawang pada malam Sabtu lalu.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kematian tersebut dan telah mengarahkan siasatan dalaman dijalankan bagi mendapatkan maklumat yang sahih.
“Saya difahamkan pelajar itu sudah selamat dikebumikan dan telah melalui proses bedah siasat. Kejadian itu berlaku di rumah, bukan di sekolah,” katanya pada sidang akhbar khas di Putrajaya pada Isnin.
Beliau turut menyampaikan rasa dukacita atas kehilangan tersebut dan berkata, KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri serta Pejabat Pendidikan Daerah telah diminta memberikan sokongan kepada keluarga pelajar berkenaan.
“Kami merakamkan rasa sedih dan dukacita terhadap kejadian yang menimpa anak kita itu. Jabatan Pendidikan dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) telah diminta membantu keluarga dalam berhadapan dengan dugaan ini,” katanya.
Dr Mohd Azam menegaskan bahawa pihaknya menunggu laporan siasatan lengkap bagi memastikan semua maklumat yang diperoleh adalah tepat sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
Menurut beliau, sebarang maklumat lanjut berhubung punca kematian akan dimaklumkan selepas siasatan selesai dijalankan oleh pihak berkuasa dan pihak sekolah.
“Saya percaya sekolah juga sedang melakukan siasatan dalaman untuk mendapatkan maklumat sahih dan betul,” katanya.
Beliau dalam masa sama menasihatkan masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat berhubung insiden tersebut.
“Kita perlu menghormati keluarga mangsa dan memberi ruang kepada mereka menghadapi situasi ini dengan tenang. Biarlah siasatan berjalan mengikut prosedur,” katanya.
Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan Malaysia merakamkan ucapan takziah atas kematian seorang calon SPM di Kuala Klawang
- Siasatan dalaman dijalankan untuk mendapatkan maklumat sahih mengenai kematian
- Pelajar tersebut telah dikebumikan dan telah melalui proses bedah siasat
- KPM memberikan sokongan kepada keluarga mangsa melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah
- Masyarakat dinasihatkan tidak membuat spekulasi dan menghormati keluarga mangsa sambil menunggu hasil siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

