Karnival Usahawan Kedah rancakkan TMK 2025

SUNGAI PETANI – Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025 dirancakkan dengan penganjuran Karnival Usahawan Kedah yang bakal menghimpunkan 300 peserta, bermula Khamis ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, penganjuran itu turut dimeriahkan dengan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat negeri yang diadakan di sini.
Menurutnya, produk tempatan yang ditawarkan melibatkan sektor makanan dan minuman, pertanian dan industri asas tani, tekstil, kesihatan dan kecantikan, kraftangan, kerja kayu serta perkhidmatan.
“Ini merupakan kali kedua karnival seumpamanya diadakan di Kedah. Pada 2023, Karnival Usahawan Kedah berjaya mencatat nilai jualan tunai sebanyak RM725,900 dengan kehadiran lebih 68,000 pengunjung.
“Tahun ini, dengan penyertaan lebih ramai usahawan, kita menjangkakan jumlah pengunjung dan nilai jualan akan meningkat sepanjang empat hari penganjuran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat persediaan Karnival Usahawan Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, pada Ahad.
Menurut beliau, penganjuran karnival itu bukan sahaja menjadi platform kepada usahawan untuk mempromosikan barangan tempatan, malah turut berperanan memperkenalkan makanan dan budaya masyarakat Kedah kepada pelancong sempena TMK 2025.
“Ini merupakan sebahagian daripada acara yang diatur sempena TMK 2025. Melaluinya, pengunjung berpeluang menikmati cita rasa tempatan serta melihat sendiri keunikan hasil kraftangan rakyat negeri ini,” katanya.
Karnival Usahawan Kedah 2025 akan dianjurkan di pekarangan Amanjaya Mall, Sungai Petani, bermula 16 hingga 19 Oktober depan.
Ringkasan AI
- Tahun Melawat Kedah 2025 dirancakkan dengan penganjuran Karnival Usahawan Kedah yang akan menghimpunkan 300 peserta
- Karnival termasuk Hari Penjaja dan Peniaga Kecil peringkat negeri
- Produk tempatan dari berbagai sektor seperti makanan, minuman, pertanian, dan kraftangan akan ditawarkan
- Pada 2023, karnival mencatat nilai jualan tunai sebanyak RM725,900 dengan kehadiran lebih 68,000 pengunjung
- Karnival bertujuan sebagai platform promosi barangan tempatan dan memperkenalkan budaya makanan Kedah sempena Tahun Melawat Kedah 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

