Seorang lelaki ditahan rempuh sekatan jalan raya

No Image Caption
A
A
A

GOMBAK - Seorang lelaki ditahan kerana merempuh sekatan jalan raya Operasi Covid-19 di Kilometer 13.2 Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Batu Caves di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 pagi ketika sepasukan anggota polis melakukan sekatan jalan raya di lokasi berkenaan.

"Polis menyedari sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum kenderaan itu kemudian merempuh sekatan jalan raya dan terus memecut ke arah Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

“Sebaik tiba di Plaza Tol Gombak, MPV berkenaan melanggar palang tol dan terus ke arah Bentong, Pahang,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Arifai berkata, kenderaan berkenaan hilang kawalan dan melanggar tembok pembahagi jalan di Kilometer 23.6, Bentong.

“Ketiga-tiga suspek bertindak melompat keluar dari kenderaan berkenaan dan melarikan diri ke arah hutan berhampiran.

“Bagaimanapun salah seorang daripada mereka berjaya ditahan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur kira-kira jam 5 petang tadi,” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek berusia 20-an itu mempunyai 20 rekod jenayah termasuk berkaitan dadah.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan bagi mengesan suspek lain yang terbabit,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186/279 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988.