AIM sasar lahirkan 32,857 usahawan baharu

SHAH ALAM – Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menetapkan sasaran melahirkan seramai 32,857 usahawan mikro baharu menerusi peruntukan sebanyak RM230 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026.
Pengarah Urusan AIM, Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, ia juga dilihat sebagai kesinambungan komitmen Kerajaan Madani dalam memperkasa ekonomi wanita B40.
Menurutnya, peruntukan besar itu akan digunakan secara strategik dan bersasar bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam aktiviti keusahawanan mikro di seluruh negara.
"Kami menyambut baik pengumuman berkenaan. Kami mensasarkan seramai 32,857 usahawan baharu dapat dilahirkan dengan kemudahan pembiayaan berjumlah RM10,000 hingga RM30,000. Mereka juga diberi peluang membuat bayaran balik yang lebih fleksible iaitu sehingga tiga tahun.
"Daripada jumlah keseluruhan, 60 peratus akan disalurkan kepada wanita luar bandar, manakala 40 peratus diperuntukkan kepada golongan wanita miskin bandar," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat, kerajaan menyediakan sejumlah RM230 juta kepada AIM untuk terus menawarkan pembiayaan kepada usahawan wanita.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu menjadikan dana AIM yang tersedia berjumlah RM2.9 bilion untuk manfaat lebih 300,000 sahabat usahawan.
Menurutnya, prestasi bayaran balik AIM amat cemerlang iaitu 99.97 peratus.
Tambah Mohamed Shamir, fokus utama institusi kewangan mikro itu ialah memastikan peluang pembiayaan berkenaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar dan ia dapat menjana pendapatan serta mengubah taraf hidup keluarga B40.
"Dengan suntikan dana tambahan sebanyak RM230 juta ini, ia membolehkan AIM meluaskan jangkauan pembiayaan mikro kepada lebih ramai wanita.
"Peruntukan ini akan menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan bagi tahun 2026 meningkat daripada RM2.7 bilion pada tahun sebelumnya, kepada RM2.9 bilion," katanya.
Menurutnya, AIM kini mempunyai 320,000 Sahabat Usahawan Aktif di seluruh negara.
Ujar beliau, majoritinya menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menjana pendapatan isi rumah supaya keperluan asas, persekolahan anak-anak dan taraf kesihatan ahli keluarga dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
"Kami juga sedang berusaha untuk menggalakkan usahawan-usahawan wanita ini, yang hampir 70 peratus masih dalam kategori menjalankan perniagaan informal supaya beralih kepada perniagaan formal," katanya.
Jelas Mohamed Shamir, tumpuan juga akan diberikan untuk membimbing Sahabat-Sahabat Usahawan AIM ke arah Persijilan Halal yang mana dapat mengangkat produk atau perhidmatan mereka ke tahap yang bersifat antarabangsa dengan piawaian menepati standard dunia.
"Justeru, apabila diumumkan peruntukan sebanyak RM230 juta ini, ia sangat ditunggu oleh usahawan-usahawan kecil ini, kerana dana ini memberi semangat untuk mereka pergi lebih jauh.
"Dengan pencapaian cemerlang bayaran balik pinjaman sebanyak 99.97 peratus, ia membuktikan bahawa golongan wanita yang kami sasarkan ini merupakan aset ekonomi negara yang boleh dipercayai dan berdaya tahan," ujar beliau.
Menurutnya, sejak ditubuhkan pada tahun 1987, AIM telah menyalurkan lebih RM37.68 bilion pembiayaan mikro dan membantu lebih satu juta wanita Malaysia keluar daripada kemiskinan.
"Kami amat berterima kasih kepada Anwar yang begitu prihatin dan sentiasa menyokong usaha kami dalam membantu kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan di negara ini.
"Sejak dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau telah menyalurkan sokongan berterusan kepada AIM, bermula dengan RM10 juta bantuan segera, diikuti RM100 juta pada Belanjawan 2024 dan kini RM230 juta untuk tahun 2026, menjadikan jumlah keseluruhan sokongan RM340 juta dalam tempoh tiga tahun," katanya.
Ringkasan AI
- Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) bercadang melahirkan 32,857 usahawan mikro baru dengan RM230 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2026
- Peruntukan ini bertujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam keusahawanan mikro, terutamanya golongan wanita B40
- 60 peratus dari jumlah pembiayaan akan disalurkan kepada wanita luar bandar dan 40 peratus kepada wanita miskin bandar
- AIM memiliki 320,000 Sahabat Usahawan Aktif, kebanyakannya menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah
- Sejak 1987, AIM telah menyalurkan lebih RM37.68 bilion pembiayaan mikro dan membantu lebih satu juta wanita Malaysia keluar dari kemiskinan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

