PRN Sabah: Wanita Keadilan tampil calon muka baharu

Fadhlina
Fadhlina
A
A
A

NIBONG TEBAL - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menampilkan muka baharu dalam kalangan calon wanita bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, calon-calon wanita yang diketengahkan kali ini bukan sahaja terdiri daripada wajah baharu malah mempunyai pengalaman luas, latar belakang kukuh serta hubungan rapat dengan masyarakat setempat.

“Ya, muka baru. Muka baru yang sangat berpengalaman, mempunyai latar belakang yang baik, dekat dengan masyarakat dan pastinya mereka yang dipilih ini mendapat mandat daripada parti.

"Yang paling penting, mandat daripada parti dan sokongan ahli parti. Calon ini juga adalah calon yang boleh menang untuk pilihan raya akan datang, insya-ALLAH,” katanya kepada media selepas menghadiri Projek Penempatan Semula Ladang Byram di sini pada Sabtu.

Tambah beliau, seluruh jentera wanita kini dalam fasa akhir persiapan menjelang penamaan calon dengan tumpuan utama memastikan kemenangan semua calon yang bakal bertanding.

“Seperti mana yang kita maklum, Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah pun dibubarkan dan ketika ini seluruh jentera wanita, khususnya Wanita Keadilan sedang melakukan persiapan termasuk memastikan kemenangan calon-calon kita.

"Jentera-jentera kita sedang dipersiapkan dan digerakkan di seluruh kerusi yang telah pun dikenal pasti untuk diletakkan calon,” ujarnya.

Menurutnya, Wanita Keadilan juga akan memberikan sokongan padu kepada semua calon parti, sama ada lelaki atau wanita sebagai tanggungjawab bersama menjayakan misi parti di negeri itu.

“Insya-ALLAH, penamaan calon dan daripada segi sokongan kepada calon ini, kita akan beri sepenuhnya sebagai satu tanggungjawab kepada parti dan mendukung semua calon-calon Keadilan yang akan bertanding sempena PRU Sabah kelak,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau mengesahkan sayap wanita parti telah menghantar senarai nama calon wanita kepada pimpinan pusat dengan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus calon dalam kalangan wanita.

“Ya, kita meletakkan sasaran 30 peratus seperti mana yang selalu dan kita mahu melihat penampilan tokoh-tokoh wanita menjadi calon di negeri Sabah ini.

"Kita sangat yakin bahawa calon-calon ini adalah mereka yang telah bekerja keras, memberikan sumbangan kepada komuniti dan masyarakat serta selayaknya diletakkan sebagai calon,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Wanita Keadilan akan terus mendukung sepenuhnya calon-calon wanita yang dipertaruhkan serta memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan parti di negeri itu.

“Kita (Wanita Keadilan) akan mendukung sepenuhnya calon-calon wanita dan pastinya calon-calon yang akan dipertengahkan oleh parti sempena pilihan raya ini,” tambahnya.

Pada 6 Oktober lalu, DUN Sabah dibubarkan berkuat kuasa pada Isnin, bagi memberi laluan PRN17.

Pembubaran DUN itu diumumkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, ketika pertemuan bersama Presiden parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kerajaan.

 

Ringkasan AI

  • PKR akan menampilkan muka baharu dalam kalangan calon wanita untuk PRN17 Sabah
  • Calon wanita diketengahkan mempunyai pengalaman luas dan hubungan rapat dengan masyarakat
  • Mendapat mandat parti dan dipilih sebagai calon yang boleh menang
  • Jentera wanita PKR dalam fasa akhir persiapan menjelang penamaan calon
  • Sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus calon dalam kalangan wanita

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!