Juruwang maut langgar lembu melintas

PASIR PUTEH - Seorang juruwang sebuah stesen minyak maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor lembu di Jalan Pasir Puteh–Telosan, Kampung Jeram, tengah malam Sabtu.
Kejadian berlaku pada jam 12.50 tengah malam membabitkan mangsa lelaki berusia 21 tahun yang disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian muka.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari arah Bandar Pasir Puteh menuju ke Telosan.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, seekor lembu melintas di atas jalan secara tiba-tiba.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurut beliau, kemalangan itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba tidak lama kemudian.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis kini sedang mengesan pemilik haiwan berkenaan bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Aliah Syafinah Ani Sarudin di talian 013-6706156 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang juruwang stesen minyak maut selepas motosikal melanggar lembu di Jalan Pasir Puteh–Telosan, Kampung Jeram
- Kejadian pada jam 12.50 tengah malam Sabtu membabitkan mangsa lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia di lokasi
- Mangsa menunggang motosikal dari arah Bandar Pasir Puteh menuju ke Telosan ketika lembu melintas secara tiba-tiba
- Mangsa tercampak dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian
- Polis mengesan pemilik lembu untuk siasatan, meminta maklumat dari orang ramai
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

