Kerajaan Madani sediakan 1 juta buku percuma di hujung jari

SHAH ALAM – Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) memperkenalkan platform digital u-Pustaka menawarkan lebih sejuta bahan bacaan dalam talian secara percuma untuk rakyat.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata ia bertujuan memastikan ketercapaian bahan bacaan kepada seluruh lapisan masyarakat, sekali gus membolehkan masyarakat mengakses pelbagai bahan digital termasuk e-buku, e-majalah, e-surat khabar, buku audio, e-pembelajaran dan e-jurnal pada bila-bila masa.
Katanya, sehingga kini u-Pustaka merekodkan 2,985,170 rekod bibliografi dengan 1,014,356 judul koleksi digital selain menyediakan 22 pangkalan data digital untuk kegunaan umum.
“Antara pangkalan data tersebut termasuk Overdrive, Alkem Digital Library, Mason Crest, Emerald eBook, JGate, Lawnet, Odilo dan MyGuru, menjadikan u-Pustaka sebagai gedung ilmu maya komprehensif dan inklusif.
“Ia juga mudah diakses semua rakyat tanpa mengira latar belakang selain memperkukuh perpaduan nasional melalui perkongsian ilmu dan kefahaman antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya,” katanya.
Sebagai rekod, berdasarkan Kajian Profil Membaca, terdapat peningkatan ketara dalam kadar bacaan rakyat Malaysia sejak dua dekad lalu.
Pada 2005, purata rakyat hanya membaca dua buku setahun. Bagaimanapun, 10 tahun kemudian jumlah itu melonjak kepada 15 buku dan pada 2023, meningkat lagi kepada 24 buku setahun.
Daripada jumlah berkenaan, purata 16 buku dibaca dalam bentuk fizikal manakala lapan lagi secara dalam talian, mencerminkan keseimbangan antara minat membaca konvensional dan digital dalam kalangan masyarakat.
Kajian terkini menunjukkan 88.6 peratus rakyat adalah pembaca aktif, sekali gus membuktikan keberkesanan pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan dalam memperkukuh budaya ilmu.
Ringkasan AI
- Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia memperkenalkan platform digital u-Pustaka yang menawarkan lebih sejuta bahan bacaan dalam talian secara percuma
- Platform bertujuan memastikan ketercapaian bahan bacaan kepada seluruh lapisan masyarakat dan membolehkan akses kepada pelbagai bahan digital
- u-Pustaka merekodkan 2,985,170 rekod bibliografi dengan 1,014,356 judul koleksi digital dan menyediakan 22 pangkalan data digital untuk kegunaan umum
- Antara pangkalan data termasuk Overdrive, Alkem Digital Library, dan lain-lain, menjadikan u-Pustaka sebagai gedung ilmu maya yang komprehensif dan inklusif
- Berlaku peningkatan ketara dalam kadar bacaan rakyat Malaysia, dari dua buku setahun pada 2005 hingga 24 buku setahun pada 2023, dengan 88.6 peratus rakyat menjadi pembaca aktif
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
