[VIDEO] Belanjawan 2026: Pelepasan cukai sehingga RM1,000 galak rakyat melancong dalam negara

A
A
A

KUALA LUMPUR- Kerajaan akan memberikan pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelepasan itu diberikan bagi perbelanjaan bayaran fi kemasukan ke pusat pelancongan tempatan dan program kebudayaan.

Selain itu, kerajaan bercadang menyediakan beberapa insentif cukai bagi sektor pelancongan dan kebudayaan.

“Pertama, pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis perniagaan diberi potongan cukai atas perbelanjaan layak yang dilakukan terhad sehingga RM500,000.

“Selain itu, syarikat pengendali pelancongan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan 100 peratus ke atas nilai peningkatan pendapatan daripada pakej pelancongan ke Malaysia.

“Syarikat, persatuan atau organisasi yang menganjurkan persidangan, pameran perdagangan atau insentif bertaraf antarabangsa juga diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus ke atas pendapatan berkanun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 diberikan bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. - Gambar hiasan
Pelepasan khas cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 diberikan bagi menggalakkan rakyat melancong dalam negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. - Gambar hiasan

Jelasnya, syarikat penganjur aktiviti kesenian, kebudayaan, pelancongan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang melibatkan peserta asing turut diberi pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu bahawa Malaysia mempunyai tekad besar iaitu menarik 47 juta pelawat dan menjana pendapatan pelancongan RM329 bilion, suatu anjakan yang menjanjikan limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, usahawan pelancongan, komuniti desa, pengusaha kraf serta rakyat seluruhnya.

“Arakian, lebih RM700 juta disediakan bagi merancakkan sektor pelancongan. RM500 juta adalah untuk menjayakan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 manakala RM60 juta ringgit dana galakan promosi, pemasaran dan penganjuran acara pelancongan serta aktiviti kebudayaan.

“RM50 juta untuk menyokong pengusaha seni dan warisan menjana pendapatan seperti penggiat karya kraf, batik dan tenunan. RM50 juta lagi geran padanan menggalakkan penerbangan antarabangsa dan carter ke Malaysia.

“MAHB berjaya menarik 10 syarikat antarabangsa ke Malaysia, seperti British Airways, Hong Kong Express dan Jiangxi Air,” jelasnya.

Tambahnya, sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi menambah baik kemudahan pelancongan termasuk memulihara tapak UNESCO seperti Taman Negara Gunung Mulu, Sarawak; Lembah Lenggong, Perak; dan FRIM Forest Park, Selangor yang baru diisytiharkan tahun ini.

Sejumlah RM20 juta pula untuk mempergiat program pelancongan kesihatan oleh Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia.

“Pulau Langkawi kekal destinasi tumpuan pelancong. Produk geopelancongan akan dibangunkan iaitu Kilim Geoforest Park, trail kembara Gua Selat Panchor dan geotrail pendakian di Langkawi UNESCO Global Geopark,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan akan memberikan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 untuk menggalakkan melancong dalam negara
  • Pengusaha projek pelancongan yang melakukan ubah suai dan pembaharuan premis diberi potongan cukai sehingga RM500,000
  • Penyelenggara aktiviti kesenian, pelancongan, serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa mendapat pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50%
  • Lebih RM700 juta disediakan untuk merancakkan sektor pelancongan termasuk dana promosi, pengembangan penerbangan antarabangsa, dan sokongan pengusaha seni
  • Malaysia mempunyai tujuan menarik 47 juta pelawat dan menjana pendapatan pelancongan RM329 bilion

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!