Rakan Peniaga Grab di Melaka raih lebih RM135 juta pada 2024

MELAKA – Grab Malaysia terus membuktikan peranannya sebagai pemangkin ekonomi apabila rakan peniaga di Melaka mencatatkan hasil kolektif melebihi RM135 juta sepanjang tahun 2024.
Pencapaian itu menggambarkan bagaimana penggunaan teknologi dan inovasi digital mampu memperkasakan komuniti setempat, sekali gus mempromosikan kekayaan warisan budaya serta kulinari negeri bersejarah itu.
Pengarah Komersil dan Penghantaran Grab Malaysia, Tan Jiong Jian, berkata pihaknya komited memperkasa perniagaan tempatan dengan menyediakan alat, ilmu serta akses kewangan bagi membantu mereka berkembang dalam ekonomi digital.
“Pencapaian rakan peniaga di Melaka membuktikan teknologi mampu membuka peluang sebenar bagi meningkatkan pendapatan, memperluas capaian pelanggan, dan menyokong daya tahan ekonomi jangka panjang negeri ini,” katanya.
Teknologi dan inovasi perkukuh PMKS tempatan
Bagi menyokong pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Grab memperkenalkan Merchant AI Assistant, ciri baharu dalam aplikasi GrabMerchant yang membantu pemilik perniagaan mengurus operasi dengan lebih efisien.

Dikuasakan teknologi kecerdasan buatan (AI), alat ini membolehkan peniaga mengakses data prestasi, menjana laporan dan menerima saranan strategik bagi meningkatkan jualan serta penglibatan pelanggan.
Ciri tersebut melengkapi pelbagai inisiatif lain seperti Grab Dine Out Discovery dan GrabMasterclass, yang direka bagi menarik pelanggan baharu dan meningkatkan daya saing jangka panjang.
Selain itu, melalui penawaran terbaharu GX Biz Banking oleh anak syarikat Grab, GXBank, rakan peniaga kini mempunyai akses kepada penyelesaian kewangan digital yang inklusif.
Antaranya termasuk GX Biz Account, akaun perniagaan tanpa yuran dengan kadar faedah harian 1 peratus setahun, serta GX Biz FlexiLoan, pinjaman fleksibel tanpa caj tersembunyi yang boleh dibayar balik awal untuk penjimatan faedah.
Peniaga tempatan catat pertumbuhan pesat
Antara peniaga tempatan yang mendapat manfaat ialah Ted Coffee, sebuah kafe di Taman Paya Rumput. Pemiliknya, Marlina Mahmud, berkata penggunaan alat digital dan kempen Grab membantu meningkatkan jualan bulanan sehingga berganda.
“Ciri seperti HotDeals dan Kombo Jimat menarik lebih ramai pelanggan baharu serta membina pelanggan setia. Platform digital ini amat membantu perniagaan kecil seperti kami untuk berkembang,” katanya.
Sementara itu, Nasi Ayam Kg Padang, yang menyertai Grab pada 2023, turut menikmati pertumbuhan ketara dengan penarafan 4.8 bintang dan status Grab Signature. Pemiliknya, Rahilah Mohd Fauzi, berkata jualan meningkat 150 peratus dalam tempoh enam bulan selepas menyertai kempen GrabFood.
“Daripada gerai jalanan hingga menjadi pilihan utama pelanggan, GrabFood membantu kami menjangkau lebih ramai pelanggan dan meningkatkan keterlihatan jenama,” katanya.
Grab sokong Gastropelancongan Melaka
Selain memacu pertumbuhan ekonomi, Grab turut memperkukuh profil Melaka sebagai destinasi budaya dan kulinari utama. Melalui kerjasama dengan Tourism Malaysia, Grab memudahkan pelancong menikmati hidangan tempatan autentik iaitu daripada gerai jalanan hingga restoran warisan.
“Melaka kaya dengan warisan budaya dan gastronomi. Kami berbangga menjadi sebahagian daripada usaha menjadikan pengalaman ini lebih mudah diakses dan menyerlahkan tarikan unik negeri ini,” tambah Tan.
Grab kekal komited memperkasa peniaga tempatan, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta memperkayakan pengalaman penduduk dan pelancong. Dengan inovasi sebagai teras, Grab terus membantu membina ekonomi yang makmur, mampan dan inklusif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
