Perdaya pinjaman peribadi RM250,000, penganggur dihukum penjara, sebat

Muhammad Nabilo dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret pada Jumaat.
Muhammad Nabilo dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA – Tindakan seorang penganggur memperdaya seorang kerani berhubung pinjaman peribadi sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan RM5,500 mengundang padah apabila dia dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat.

Muhammad Nabilo Saparuddin, 34, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Irza Zulaikha Rohanuddin.

Mahkamah memerintahkan bapa kepada lima anak itu dipenjara bermula Jumaat.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang memakai baju lokap berwarna merah didakwa menipu seorang kerani, Mohd Din Hafeez Efandi, 38, dengan memperdayakan mangsa dalam urusan mendapatkan kelulusan pinjaman peribadi daripada sebuah bank.

Ia mendorong mangsa untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM1,500 sementara RM4,000 ke dalam akaun tertuduh, sedangkan mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Presint 1, di sini pada jam 5 petang 26 Julai 2015 hingga 12 tengah hari keesokan harinya.

Kesalahan didakwa dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara anatra satu hingga 10 tahun, sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah berurusan dengan tertuduh bagi urusan pinjaman peribadi sebanyak RM250,000.

Setelah persetujuan dibuat, mangsa menyerahkan wang sebanyak RM5,500 dengan dijanjikan bahawa kelulusan pinjaman akan mengambil masa selama 21 hari bekerja.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, selepas tempoh berkenaan, wang pinjaman yang dipohon masih tidak diterima.

Dalam prosiding ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Khalilah Zaberi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

 

 

Ringkasan AI

  • Seorang penganggur dihukum penjara 12 bulan dan satu sebatan kerana menipu seorang kerani
  • Muhammad Nabilo Saparuddin, 34, mengakui bersalah di Mahkamah Majistret Putrajaya
  • Tertuduh memperdaya mangsa dengan urusan pinjaman peribadi sehingga mangsa menyerahkan RM5,500
  • Kesalahan dilakukan di sebuah pusat beli-belah di Presint 1, Putrajaya
  • Kes dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!